Thursday, December 8, 2011

Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 Tahun 2012

Pendaftaran pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 telah dijalankan pada hari Sabtu 3 Disember 2011 yang lalu. Pendaftaran kali ini merupakan satu kelainan berbanding-banding tahun-tahun sebelumnya kerana diadakan lebih awal di bulan Disember dan diadakan pula secara serentak di seluruh negara selaras dengan arahan Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuannya adalah untuk menjelaskan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar tentang dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris ringkasnya MBMMBI. 

Pendaftaran bermula jam 8.30 pagi dimulai dengan taklimat daripada Pengetua, taklimat daripada Penolong Kanan HEM dan taklimat Penolong Kanan Kokurikulum. Selepas taklimat sesi dialog dengan ibubapa/penjaga turut dijalankan. Tuan pengetua dalam taklimatnya telah menerangkan tentang sejarah sekolah, infrastruktur sekolah, aktiviti-aktiviti akademik dan kejayaan sekolah. Dasar MBMMBI turut dijelaskan dengan panjang-lebar supaya ibubapa dan penjaga mengetahui dengan mendalam apakah yang dimaksudkan dengan dasar tersebut dan implikasinya ke atas proses pembelajaran anak-anak mereka di kelas.

Berdasarkan senarai nama pelajar tingkatan 1 tahun 2012 yang diterima daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah Seremban, SMK Senawang 3 telah membuka dua kelas tingkatan 1 bagi menempatkan 82 orang pelajar yang datangnya daripada 9 buah sekolah feeder iaitu  SK Taman Tasik Jaya (20 orang), SK Rahang (5 orang), SK Taman Tuanku Jaafar (2 orang), SK Taman Tuanku Jaafar 2 (1 orang), SK Senawang (36 orang), SK Taman Sri Mawar (11 orang), SK Paroi (2 orang), SK Taman Seri Pagi (2 orang) dan SJKT Ladang Senawang (1 orang). Inovasi yang dibuat pada tahun 2012 ialah menamakan kelas-kelas tersebut dengan dua nama universiti lain selain daripada UM, UKM dan USM yang sedia ada. Kedua-dua kelas tersebut dinamakan 1 UiTM dan 1 UIAM. Penamaan ini bertujuan mendedahkan kepada pelajar-pelajar bahawa di negara kita terdapat banyak universiti yang mana mereka berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi dan diharapkan setiap pelajar telah menetapkan universiti impian masing-masing. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...