Selamat bercuti diucapkan kepada semua guru dan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 yang telah bermula mulai Sabtu 28 Mei 2011 yang lalu sehingga Ahad, 12 Jun 2011. Diharapkan semua pelajar SMK Senawang 3 dapat memenuhi waktu cuti ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat terutamanya aktiviti yang dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan yang lebih mendalam terhadap mata-mata pelajaran yang dipelajari di sekolah.
Antara aktiviti yang boleh dibuat ialah belajar secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai topik-topik yang menimbulkan kesukaran untuk difahami dan mengaplikasikannya dalam pembelajaran. Sekiranya terdapat agensi-agensi yang mengadakan program motivasi belajar berhampiran tempat tinggal kita, sebaik-baiknya hadirlah ke program-program tersebut supaya keghairahan kita untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dapat dipupuk di dalam jiwa dan minda kita.
Sekiranya ibu bapa dan penjaga pelajar membawa pelajar bercuti di mana-mana destinasi pelancongan di negara kita seperti di Melaka Bandaraya Bersejarah, Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan sebagainya, seelok-eloknya bawalah buku catatan supaya pelajar dapat mencatatkan apa-apa maklumat dan pemerhatian berkaitan dengan tempat-tempat yang dilawati itu. Catatan itu boleh digunakan misalnya dalam menjawab soalan-soalan karangan dan esei Bahasa Inggeris. Jangan lupa mengambil apa-apa risalah yang berkaitan dengan tempat-tempat yang dilawati itu supaya dapat dikongsi bersama-sama rakan sekelas ataupun melekatkannya di papan kenyataan di kelas.
Selamat Bercuti, Selamat Mengulangkaji dan Selamat Kembali Ke Sekolah.