Sunday, June 26, 2011

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Terdapat pelbagai tip untuk  menjadi pelajar cemerlang yang dikemukakan oleh ramai pakar motivasi belajar. Ada yang menyenaraikan 21 tip, ada yang menyenaraikan sehingga 102 tip. Tentulah agak sukar untuk seorang pelajar mengingati kesemua tip yang sebegitu banyak. Tambahan pula ada begitu banyak rumus atau formula yang perlu diingat di samping berbagai fakta lain dalam mata-mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan awam seperti PMR.

Sebagai ringkasan kepada semua tip itu, untuk menjadi pelajar yang cemerlang ialah dengan mengingati akronim DUIT. Ya..duit. Jika kita ingin menjadi orang yang kaya dengan duit, maka formulanya ialah duit juga. Apakah makna akronim itu?
D = Doa
U = Usaha
I  =  Istiqomah
T = Tawakal

Doa merupakan senjata orang mukmin atau senjata orang beriman. Maka bagi seorang pelajar yang beragama Islam, setiap perkara yang ingin dilakukan tentunya mesti ada niat dan diikuti dengan doa. Misalnya apabila kita terbangun dari tidur untuk bersolah Subuh dahulu sebelum bergerak ke sekolah, kita membaca doa dangun dari tidur dulu. Bagi pelajar yang bukan Islam, bolehlah berdoa mengikut agama masing-masing. Fadhilat berdoa ditunjukkan dalam hadis di bawah:

. 

 Artinya: "Tidak ada sesuatu yang paling mulia dalam pandangan Allah, selain daripada "berdoa" kepadaNya, sedangkan kita dalam keadaan lapang.(Hadis Riwayat Al-Hâkim).


U pula merujuk kepada usaha atau daya usaha atau ikhtiar. Slogan Usaha Tangga Kejayaan yang sering kali diucapkan dalam mana-mana majlis atau ceramah motivasi menandakan pentingya berusaha secara bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan dalam apa bidang sekalipun.

Dalam Islam, kita dapati banyak ayat Al Quran dan  hadis yang menyarankan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mencapai  kejayaan sama ada di dunia dan juga di akhirat. Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah S.W.T sebagaimana firmanNya dalam surah At Taubah ayat 105 yang bermaksud :
Dan katakanlah wahai Muhammad “Hendaklah kamu semua berusaha (beramal ) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.” 
Doa dan usaha itu hendaklah dilakukan secara berterusan iaitu secara istiqomah. Kerana itu setiap kali selepas sesuatu pengajaran, guru akan memberi latihan demi latihan. Tujuannya supaya fakta-fakta dan topik-topik yang diajar oleh guru itu dapat difahami dengan cepat dan kekal dalam ingatan pelajar. Ini tentunya akan dapat memudahkan pelajar menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan apabila telah berulang kali atau terbiasa menjawabnya.

Akhir sekali apabila pelajar telah berusaha dengan tekun dan menjawab soalan-soalan peperiksaan barulah bertawakal kepada Allah bersesuaian dengan ungkapan yang sering disebut iaitu kita hanya berusaha Allah yang menentukan. Bagaimana sekarang? Tentulah lebih mudah mengingati akronim D.U.I.T berbanding menghafal sebegitu banyak tip bukan?
Tulisan Haji Hamidon Haji Khalid.

Saturday, June 18, 2011

Teknik Belajar Berkesan - Study Group

Terdapat pelbagai kaedah belajar yang boleh diamalkan oleh seseorang pelajar untuk menghadapi ujian dan peperiksaan. Namun kaedah yang terbaik dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran adalah belajar dalam kumpulan atau study groupDengan belajar dalam kumpulan pelajar dapat membantu rakan yang lemah dalam sesuatu topik. Dengan adanya semangat bantu-membantu ini, semua ahli dalam kumpulan dapat meningkatkan pencapaian masing-masing dan dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada sekolah apabila masing-masing mencapai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan  awam seperti PMR atau SPM.

Gambar hiasan

Terdapat empat kelebihan utama belajar dalam kumpulan. Pertama, setiap pelajar akan sentiasa bermotivasi dan memberi tumpuan kepada sesuatu topik yang akan dibincangkan dalam kumpulan kerana suka atau tidak suka, minat atau tidak, susah atau senang perlu dipelajari untuk dibincang dalam kumpulan belajar. 

Keduanya, kumpulan belajar tidak berbentuk formal seperti pembelajaran di dalam kelas.  Ahli kumpulan boleh bertanya kepada rakan-rakan dalam kumpulan tentang sesuatu topik yang dia sukar faham di dalam kelas (sekiranya  pelajar itu malu hendak bertanya guru di kelas). Ini dapat menambahkan keyakinan pelajar itu untuk mula bertanya guru di dalam kelas pada masa-masa pengajaran guru yang akan datang.

Ketiganya, belajar dalam kumpulan memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari sesuatu topik itu dalam pelbagai cara seperti belajar dengan kaedah visual dengan membaca topik, belajar dengan kaedah mendengar penerangan daripada rakan kumpulan 

Akhir sekali, belajar dalam kumpulan memberi peluang pelajar membandingkan idea dan nota sesuatu topik. Pelajar boleh bertukar-tukar pandangan dan cara penyelesaian soalan-soalan yang terdapat di dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan awam.

Tulisan: Haji Hamidon Haji Khalid

Monday, June 13, 2011

Selamat Kembali Ke Sekolah

Hari ini sekolah dibuka semula kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang memulakan kembali sesi persekolahan pada hari Ahad 12 Jun 2011. Harapan guru-guru dan staf SMK Senawang 3 adalah setiap orang pelajar SMK Senawang 3 telah menggunakan dengan sebaik-baiknya waktu cuti selama  dua minggu itu dengan melakukan aktiviti yang berfaedah bagi kemajuan diri masing-masing baik dari segi akademik, kokurikulum mahupun hubungan dengan komuniti.

Pada minggu ini pelajar-pelajar akan dapat mengetahui tahap pencapaian mereka di dalam peperiksaan pertengahan tahun yang telah dijalankan seminggu sebelum cuti pertengahan tahun yang lalu. Ini merupakan agenda biasa hampir semua sekolah di negara kita. Apabila markah-markah untuk setiap mata pelajaran yang diperiksa itu diterima, diharapkan pelajar-pelajar dapat membuat analisis kendiri tentang kelemahan-kelemahan dalam topik-topik yang ditanya di dalam setiap mata pelajaran. Kemudian carilah jalan sama ada berbincang dengan rakan sekelas ataupun menemui guru mata pelajaran untuk membincangkan bagaimana mengatasi kelemahan-kelemahan yang ditemui melalui peperiksaan itu. Dengan strategi ini,setiap kelemahan dapat diatasi dan sudah tentu dapat meningkatkan pencapaian pelajar di dalam ujian bulanan seterusnya dan peperiksaan akhir tahun kelak.

Pelajar yang baik mendengar kata, Pelajar yang cemerlang berbuat segera.
Selamat Maju Jaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...