Tahniah diucapkan kepada semua guru yang telah berjaya mengikuti Kursus Pembelajaran Berkesan Melalui Laman Blog yang diadakan pada Sabtu 13 Ogos 2011 yang lalu. Kini setiap panitia mata pelajaran telah mempunyai laman blognya sendiri. Objektif kursus yang dikendalikan oleh tuan pengetua SMK Senawang 3 ini adalah untuk memanfaatkan teknologi komunikasi dan informasi dalam mempertingkatkan pembelajaran pelajar. Tambahan pula seramai 68 orang pelajar sekolah kita akan mendapat sebuah netbook dari skim komputer satu Malaysia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada Khamis 18 Ogos 2011 di Dewan Seri Rembau, Pejabat Daerah Rembau..
Kemudahan Streamyx berkelajuan 1 Megabait di sekolah kita boleh digunakan oleh guru-guru untuk mengajar dengan lebih menarik menerusi penggunaan netbook pelajar dan notebook guru. Guru perlulah rajin melayari Internet supaya pelajar-pelajar dapat diberitahu tentang laman-laman pendidikan yang begitu banyak di dunia digital. Laman-laman pembelajaran interaktif perlu dikenalkan kepada pelajar agar mereka dapat mengukuhkan pengetahuan yang diperolehi daripada pengajaran guru di bilik kelas. Pelajar dan guru-guru mata pelajaran sudah tentu dapat berinteraksi melalui kotak sembang yang boleh ditambah kepada laman blog panitia mata pelajaran. Dengan cara ini proses pembelajaran pelajar menjadi lebih baik dan berkesan.
Namun yang paling penting sekali ialah setiap panitia mata pelajaran hendaklah membuat kemaskini (update) sekurang-kurangnya sekali seminggu laman blog yang dihasilkan. Jika ini dapat dilakukan, kita boleh menjadikan ICT sebagai salah satu daripada nich area atau kebitaraan sekolah. Walau bagaimanapun penggunaan internet perlu dikawal supaya prestasi sekolah kita dari segi akademik tidak merosot. Ini kerana ada bukti yang sekolah lain yang menjadikan ICT sebagi kebitaraan menunjukkan kemerosotan prestasi peperiksaan awam tahun demi tahun walaupun sekolah itu menjadi lebih cemerlang dalam ICT. Diharapkan senario ini menjadi satu ingatan kepada guru-guru kita.
Warga SMK Senawang 3 ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengurusan SMK Senawang yang menyediakan tempat kursus di Kamar ICT SMK Senawang. Juga tahniah kepada beberapa orang guru SMK Senawang yang dapat mengikuti kursus ini dengan jayanya.
No comments:
Post a Comment