Pada 13 Februari 2012 (Isnin), pihak sekolah telah mengadakan Majlis Pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3. Watikah pelantikan telah disampaikan oleh tuan pengetua kepada 16 orang pengawas sekolah dan 12 orang pengawas PSS.
Kemudian, para pengawas telah membaca ikrar menjalankan tugas dengan jujur dan amanah di hadapan semua guru. Bacaan ikrar telah diketuai oleh Ketua Pengawas yang baru iaitu saudara Mohd Ikmal Hamizie. Sementara itu, saudari Nurul Asyiqin telah dilantik sebagai Penolong Ketua Pengawas yang baru. Dalam ucapan ringkasnya, pengetua berharap semua pengawas sekolah yang dilantik dapat menjadi pembantu guru yang baik dalam melaksanakan tugas bersama-sama mendisiplinkan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 sesuai dengan hasrat menjadikan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 cemerlang sahsiah.
Beliau juga berharap pengawas PSS dapat membantu guru penyelaras PSS dan semua guru serta pelajar mewujudkan budaya rajin membaca dalam kalangan pelajar. Pengetua juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Pok Sim Nam, Ketua Bidang Sains dan Matematik kerana berjaya mendapatkan sumbangan buku daripada seorang dermawan yang merupakan buku-buku bacaan dalam Bahasa Inggeris. Jumlah sumbangan yang berupa buku-buku tersebut bernilai RM1000 (seribu ringgit).
Para pengawas PSS telah menunjukkan buku-buku yang disumbangkan itu kepada semua pelajar semasa majlis tersebut. Adalah diharapkan para pelajar dapat meminjam buku-buku tersebut, membacanya dan seterusnya dapat membantu mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Seluruh warga SMK Senawang 3 mengucapkan jutaan terima kasih kepada dermawan tersebut. Terima kasih tuan!
Nota: Gambar-gambar sekitar majlis pelantikan boleh dilihat di menu Galeri Foto.
Kiriman: Haji Hamidon Haji Khalid
No comments:
Post a Comment