Saturday, February 18, 2012

Sambutan Maulidur Rasul Meriah

Majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah / 2012 peringkat sekolah telah berjaya dilaksanakan pagi tadi dalam suasana yang sangat meriah. Para pelajar dan guru telah  berkumpul seawal jam 7.30 pagi di Dataran Perhimpunan. Tema sambutan Maulidur Rsul 1433 Hijrah adalah "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".

Ustazah Nur Saharah telah memberi taklimat mengenai perarakan dan para pelajar dan guru kemudian membaca salawat sebelum mula berarak. Tepat jam 8.05 pagi, perarakan telah dimulakan dengan diketuai oleh tuan pengetua, guru-guru lelaki, pelajar lelaki, pelajar perempuan dan guru lelaki serta kakitangan sokongan. 

Selepas perarakan Maulidur Rasul selesai, para guru dan pelajar berkumpul pula di Surau SMK Senawang untuk menghadiri sesi ceramah / tazkiran yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Shahrizal bin Mohamad Ali, Imam Masjid Jamek, Seremban. Majlis tazkirah turut dihadiri oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Othman bin Md Diah.

Di antara kandungan tazkirah Al-Fadhil Ustaz Shahrizal adalah sirah Rasul, taat pada ibu bapa dan guru, meningkatkan pemahaman terhadap agama, contohi Rasulullah SAW dan sahabat Rasulullah SAW, dan kepentingan pendekatan agama dalam pengajaran dan pembelajaran. Al-Fadhil Ustaz Shahrizal meminta para pelajar mengamalkan bersedekah di masjid dengan memulakan dengan menderma sepuluh sen pada setiap hari Jumaat. Beliau mengaitkannya dengan hadis riwayat Muslim, iaitu "Apabila mati seorang anak Adam, maka terputus amalannya kecuali tiga perkara iaitu (1) sedekah jariah, (2) ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain, dan (3) anal soleh yang mendoakan untuknya". 

Amalan bersedekah tu juga dapat dikaitkan dengan hadis riwayat Bukhari dan Muslim iaitu Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh orang yang akan dilindungi Allah dalam naunganNya iaitu:
  1. Imam (pemimpin) yang adil, 
  2. Pemuda yang hidup dengan beribadah kepada Allah, 
  3. Orang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
  4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah,
  5. Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi dia menolaknya dan berkata "Aku takut kepada Alah",
  6. Orang yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya, dan
  7. Seorang yang berzikir kepada Allah sendirian lalu menitikkan air matanya.
Nota: Gambar-gambar sepanjang majlis boleh dilihat di menu Galeri Foto di atas. Video perarakan boleh ditonton di You Tube dengan membuat carian menggunakan kata kunci "SMK Senawang 3:.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...