Majlis Khatam Al-Quran Perdana, Iftar dan Solat Tarawih telah diadakan d Dewan Seri Delima, SMK Senawang. SMK Senawang 3 turut menyertai majlis yang dianjurkan oleh SMK Senawang dan serentak diadakan di tiga venue lain iaitu SMK Taman Tuanku Jaafar selaku pengelola, SK Taman Tuanku Jaafar 1 dan SK Taman Tuanku Jaafar 2. Majlis ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan di bawah Program Pembudayaan Al-Quran yang inisiatifnya digerakkan oleh SMK Taman Tuanku Jaafar.
|
Tiga orang pelajar SMK Senawang 3 terpilih sebagai peserta utama di pentas Dewan Seri Delima |
Majlis bermula dengan paluan kompang mengiringi peserta-peserta utama Tadarus Al-Quran memasuki dewan jam 5.25 petang menuju ke pentas utama. Peserta-peserta di dewan menyambut peserta-peserta utama dengan bacaan selawat. Tepat jam 5.30 petang, majlis tadarus dijalankan serentak di tiga venue yang lain dan disiarkan melalui perisian Skype di skrin besar.
|
Majlis Tahlil dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad |
Selepas Tadarus Al-Quran, majlis tahlil pula diadakan diikuti dengan ucapan pengetua cemerlang SMK Senawang, Tuan Haji Awalludin bin Mat Din. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan penyampaian sumbangan wang kepada pelajar-pelajar yatim SMK Senawang oleh Encik Adnan dari Management and Science University, MSU.
|
Penyampaian cenderamata oleh pengetua SMK Senawang |
Majlis berbuka puasa /iftar kemudiannya dijalankan di kafe SMK Senawang diikuti dengan solat Maghrib berjemaah di Dewan Seri Delima. Selepas solat Maghrib, diadakan pula majlis solat hajat dan tazkirah pendek oleh imam solat, Al-Fadhil Ustaz Ahmad. Jam 8.40 diadakan pula solat Isyak berjemaah diikuti oleh Solat Tarawih 10 rakaat dan Solat Witir. Majlis diakhiri dengan acara moreh di Kafe SMK Senawang.
Tahniah kepada 15 orang pelajar SMK Senawang 3 yang menyertai majlis ini yang diketuai oleh Ustazah Nur Saharah binti Salehan. Majlis turut dieriahkan oleh kehadiran Tuan Haji Borhan bin Hashim, Penolong Kanan HEM SMK Senawang 3 dan Tuan Haji A. Halim bin Saat, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Senawang 3.
|
Tuan Haji Borhan bersama Tuan Haji Awalludin |
Adalah diharapkan program ini dapat menggalakkan pelajar mengamalkan budaya membaca dan mencintai Al-Quran dan membentuk diri bersahsiah cemerlang berteraskan kitab suci Al-Quran yang menjadi panduan hidup. Pelajar yang menghayati isi kandungan Al-Quran sebagai cara hidup sudah pasti menjadi insan yang kamil yang dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara serta agama Islam.
Nota: Gambar-gambar sepanjang program ini boleh dilihat di laman Facebook SMK Senawang 3.
Klik di sini.