Sunday, May 29, 2011

Selamat Bercuti Pertengahan Tahun 2011

Selamat bercuti diucapkan kepada semua guru dan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 yang telah bermula mulai Sabtu 28 Mei 2011 yang lalu sehingga Ahad, 12 Jun 2011. Diharapkan semua pelajar SMK Senawang 3 dapat memenuhi waktu cuti ini dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat terutamanya aktiviti yang dapat meningkatkan kefahaman dan pengetahuan yang lebih mendalam terhadap mata-mata pelajaran yang dipelajari di sekolah. 

Antara aktiviti yang boleh dibuat ialah belajar secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai topik-topik yang menimbulkan kesukaran untuk difahami dan mengaplikasikannya dalam pembelajaran. Sekiranya terdapat agensi-agensi yang mengadakan program motivasi belajar berhampiran tempat tinggal kita, sebaik-baiknya hadirlah ke program-program tersebut supaya  keghairahan kita untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dapat dipupuk di dalam jiwa dan minda kita. 

Sekiranya ibu bapa dan penjaga pelajar membawa pelajar bercuti di mana-mana destinasi pelancongan di negara kita seperti di Melaka Bandaraya Bersejarah, Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan sebagainya, seelok-eloknya bawalah buku catatan supaya pelajar dapat mencatatkan apa-apa maklumat dan pemerhatian berkaitan dengan tempat-tempat yang dilawati itu. Catatan itu boleh digunakan misalnya dalam menjawab soalan-soalan karangan dan esei Bahasa Inggeris. Jangan lupa mengambil apa-apa risalah yang berkaitan dengan tempat-tempat yang dilawati itu supaya dapat dikongsi bersama-sama rakan sekelas ataupun melekatkannya di papan kenyataan di kelas.

Selamat Bercuti, Selamat Mengulangkaji dan Selamat Kembali Ke Sekolah.

Thursday, May 26, 2011

Selamat Datang

Selamat Datang ke laman blog rasmi SMK Senawang 3, Seremban, Negeri Sembilan. Laman blog ini didedikasikan kepada semua warga dan alumni SMK Senawang 3 untuk mendokumentasikan semua aktiviti yang telah dan akan berlangsung di sekolah kita yang kita sayangi ini.
Kiri - Pejabat, Bilik Guru dan Kelas
 
Meskipun kita masih menumpang di bangunan SMK Senawang buat tahun kelima, ianya tidak membataskan semangat warga SMK Senawang 3 untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan sekolah dari aspek kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid dan hubungan kita dengan komuniti luar sekolah.

Adalah diharapkan laman blog rasmi SMK Senawang 3 ini dapat memberikan maklumat yang boleh dikongsi bersama dengan insan lain yang juga mencintai dunia pendidikan.
 
Selamat melayari laman blog kami.

Daripada: Warga SMK Senawang 3.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...