Friday, October 5, 2012

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin PMR 2012

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin bagi calon-calon PMR 2012 sekolah telah diadakan pada hari Jumaat yang lepas bersamaan dengan 28 September 2012.
Calon-calon PMR 2012 -- Batch 4 - bersama-sama bermunajat kepada Yang Maha Esa
Solat Taubah dan Solat Hajat telah diimamkan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Othman bin Mohd Diah.
Ustaz Haji Othman turut mengetuai bacaan Yasin.

Al-Fadhil Ustaz Haji Othman bin Mohd Diah
Seluruh warga SMK Senawang 3 merakamkan ucapan terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Othman yang dapat bersama-sama mendoakan kejayaan Batch Ke-4 PMR dalam peperiksaan PMR yang bakal berlangsung dari 9 hingga 15 Oktober 2012 nanti. 

Friday, September 7, 2012

Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2012 / 1433 Hijrah

Sambutan Hari Raya Aidil  Fitri 2012 telah dijalankan di Bengkel Kemahiran Hidup SMK Senawang 3. Sambutan kali ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran beberapa orang bekas pelajar SMK Senawang 3 yang merupakan batch pertama iaitu batch 2007 - 2009.


Turut diadakan adalah acara memotong kek hari lahir guru dan staf yang lahir pada bulan Ogos dan September termasuklah Tuan Haji Borhan bin Hashim, Penolong Kanan HEM yang menyambut hari lahirnya pada 31 Ogos.

Nota: Gambar-gambar sepanjang majlis ini boleh dilihat di menu Galri Foto atau klik pautan ini: http://galerismksenawang3.blogspot.com/2012/10/sambutan-hari-raya-aidil-fitri-2012.html

Tuesday, September 4, 2012

Pertemuan Tiga Penjuru Ke-3 Tahun 2012

Hari ini diadakan majlis pertemuan tiga penjuru di antara ibu-bapa / penjaga, pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan guru-guru SMK Senawang 3 bagi melaporkan prestasi akademik calon-calon PMR 2012 yang merupakan batch PMR ke-4 untuk SMK Senawang 3. 


Pembentangan keputusan Peperiksaan Percubaan PMR 2012 telah dilakukan oleh Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid, pengetua kedua SMK Senawang 3. Menurut tuan pengetua, keputusan peperiksaan percubaan PMR 2012 ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding dengan keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang lepas. 

Walau bagaimanapun pihak sekolah berharap ibu-bapa dan penjaga dapat bersama-sama memantau pembelajaran pelajar di rumah memandangkan peperiksaan PMR akan berlangsung dalam 35 hari lagi iaitu pada 9 Oktober 2012 nanti. Pengetua memperkenalkan formula DUIT kepada ibu-bapa dan penjaga supaya sasaran sekolah untuk mendapatkan GPS 2.50 dapat dicapai.

Friday, August 31, 2012

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55

Perhimpunan khas Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 telah disambut dengan meriah di Dataran Perhimpunan SMK Senawang pada 30 Ogos 2012 bermula jam 5.00 petang. Acara dimulai dengan ucapan perasmian oleh tuan pengetua diikuti dengan perisytiharan kemerdekaan oleh pelajar-pelajar, dan persembahan pelajar.

Tuan Haji Borhan bin Hashim, Guru Penolong Kanan HEM telah menyampaikan sebuah sajak bertemakan kemerdekaan dengan gaya yang mempersonakan. Majlis ditutup dengan nyanyian lagu Tanggal 31 Ogos dan laungan merdeka.


Wednesday, August 29, 2012

Membina Kecemerlangan Diri

Prograam peningkatan prestasi PMR SMK Senawang 3 diteruskan lagi dengan mengadakan ceramah Membina Kecemerlangan Diri. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Hajah Siti Nurbaya dan rakan beliau dari Pusat Kecemerlangan Diri dari Lavender Heights, Seremban. 
Penyampaian oleh Puan Hajah Siti Nurbaya
Diharapkan program ini dapat meningkatkan lagi keyakinan diri calon-calon PMR batch ke-4 SMK Senawang 3 dalam menghadapi peperiksaan sebenar pada 9 Oktober nanti.


Wednesday, August 8, 2012

Majlis Khatam Al-Quran Perdana, Iftar dan Solat Tarawih 2012

Majlis Khatam Al-Quran Perdana, Iftar dan Solat Tarawih telah diadakan d Dewan Seri Delima, SMK Senawang. SMK Senawang 3 turut menyertai majlis yang dianjurkan oleh SMK Senawang dan serentak diadakan di tiga venue lain iaitu SMK Taman Tuanku Jaafar selaku pengelola, SK Taman Tuanku Jaafar 1 dan SK Taman Tuanku Jaafar 2. Majlis ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan di bawah Program Pembudayaan Al-Quran yang inisiatifnya digerakkan oleh SMK Taman Tuanku Jaafar. 

Tiga orang pelajar SMK Senawang 3 terpilih sebagai peserta utama di pentas Dewan Seri Delima
Majlis bermula dengan paluan kompang mengiringi peserta-peserta utama Tadarus Al-Quran memasuki dewan jam 5.25 petang menuju ke pentas utama. Peserta-peserta di dewan menyambut peserta-peserta utama dengan bacaan selawat. Tepat jam 5.30 petang, majlis tadarus dijalankan serentak di tiga venue yang lain dan disiarkan melalui perisian Skype di skrin besar.

Majlis Tahlil dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad

Selepas Tadarus Al-Quran, majlis tahlil pula diadakan diikuti dengan ucapan pengetua cemerlang SMK Senawang, Tuan Haji Awalludin bin Mat Din. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan penyampaian sumbangan wang kepada pelajar-pelajar yatim SMK Senawang oleh Encik Adnan dari Management and Science University, MSU.
Penyampaian cenderamata oleh pengetua SMK Senawang
Majlis berbuka puasa /iftar kemudiannya dijalankan di kafe SMK Senawang diikuti dengan solat Maghrib berjemaah di Dewan Seri Delima. Selepas solat Maghrib, diadakan pula majlis solat hajat dan tazkirah pendek oleh imam solat, Al-Fadhil Ustaz Ahmad. Jam 8.40 diadakan pula solat Isyak berjemaah diikuti oleh Solat Tarawih 10 rakaat dan Solat Witir. Majlis diakhiri dengan acara moreh di Kafe SMK Senawang.

Tahniah kepada 15 orang pelajar SMK Senawang 3 yang menyertai majlis ini yang diketuai oleh Ustazah Nur Saharah binti Salehan. Majlis turut dieriahkan oleh kehadiran Tuan Haji Borhan bin Hashim, Penolong Kanan HEM SMK Senawang 3 dan Tuan Haji A. Halim bin Saat, Penolong Kanan Kokurikulum SMK Senawang 3.

Tuan Haji Borhan bersama Tuan Haji Awalludin
Adalah diharapkan program ini dapat menggalakkan pelajar mengamalkan budaya membaca dan mencintai Al-Quran dan membentuk diri bersahsiah cemerlang berteraskan kitab suci Al-Quran yang menjadi panduan hidup. Pelajar yang menghayati isi kandungan Al-Quran sebagai cara hidup sudah pasti menjadi insan yang kamil yang dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara serta agama Islam.

Nota: Gambar-gambar sepanjang program ini boleh dilihat di laman Facebook SMK Senawang 3. Klik di sini.

Tuesday, August 7, 2012

Peperiksaan Percubaan PMR 2012

Hari ini bermulalah Peperiksaan Percubaan PMR 2012 yang dijalankan serentak di seluruh Negeri Sembilan buat kali yang terakhir. Mulai tahun hadapan peperiksaan setara sebegini tidak lagi dibenarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. 



Warga SMK Senawang 3 mengucapkan Selamat Menjawab kepada semua calon-calon PMR Batch ke-4 yang akan mengharungi peperiksaan itu hingga 13 Ogos 2012. Seluruh warga SMK Senawang 3 mendoakan semoga Batch PMR Ke-4 ini dapat mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah iaitu GPS 2.50. 




Tuesday, July 31, 2012

Anugerah Peningkatan Prestasi Peperiksaan Pertengahan Tahun 2012

Pada Isnin, 30 Julai 2012, pihak sekolah telah mengadakan majlis penyerahan sijil yang dianugerahkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang menunjukkan gred purata individu yang cemerlang. Adalah diharapkan penganugerahan sijil ini dapat membantu meningkatkan prestasi peperiksaan PMR 2012 yang akan bermula pada 9 Oktober 2012 nanti. 

Pelajr Elit PMR 2012 - Nurul Jasmin
Penganugerahan sijil ini merupakan salah satu daripada projek atau aktiviti yang telah diputuskan dalam program peningkatan prestasi akademik pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang merupakan batch ke-4 PMR bagi SMK Senawang 3.

Wednesday, July 18, 2012

Kejohanan Olahraga Balapan dan Padang Kali Ke-6

Kejohanan Olahraga Balapan dan Padang kali ke-6 telah selamat dijalankan pada hari ini di dalam keadaan cuaca yang sangat baik.

Acara tarik tali antara rumah sukan turut diadakan
Rumah Undang Johol telah muncul sebagai juara keselurahan kejohanan kali ke-6 ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua atlit yang telah menunjukkan kesungguhan dan disiplin yang tinggi dalam bertanding.

Gambar-gambar sekitar kejohanan ini boleh dilihat di facebook SMK Senawang 3 atau klik di sini.

Saturday, July 14, 2012

LDP-Integriti Penjawat Awam

Hari ini sekolah mengadakan program latihan dalam perkhidmatan untuk guru dan staf sokongan. LDP kali ini bertajuk Integriti Penjawat Awam. Ceramah telah disampaikan oleh Cik Zariani binti Ghazali dari Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti. Ceremah bermula jam 9.00 pagi bertempat di bengkel kemahiran Hidup, SMK Senawang 3.


Friday, July 13, 2012

Program Ibu Bapa Cemerlang Pelajar Gemilang 2012

Alhamdulillah. Program motivasi khas kepada ibu bapa dan pelajar-pelajar Tingkatan 3 telah dapat dijalankan pada Rabu 11 Julai yang lalu bertempat di Bengkel Kemahiran Hidup SMK Senawag 3. Program yang dinamakan Ibu Bapa Cemerlang, Pelajar Gemilang bertujuan menemukan ketiga-tiga pihak - ibu bapa atau penjaga, pelajar dan guru-guru untuk menyelami permasalahan yang mungkin dihadapi oleh pelajar-pelajar Tingkatan 3 dalam menghadapi peperiksaan PMR yang bakal berlangsung 88 hari lagi dari hari ini. Selain daripada itu, perbincangan dari hati ke hati antara ketiga-tiga pihak dapat membuat rumusan yang terbaik dalam membantu pelajar-pelajar mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR mulai daripada 9 Oktober nanti.

Ustaz Mohd Hapizi menyampaikan ceramah

Program telah diacarakan oleh Puan Nurhida binti Mohd Noh, kaunselor sekolah dan dimulai dengan ucapan tuan pengetua diikuti oleh slot ceramah. Ceramah bertajuk Ibu Bapa Cemerlang, Pelajar Gemilang itu telah disampaikan secara sangat berkesan oleh Ustaz Mohd Hapizi dari Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan pelajaran negeri Sembilan.

Antara ibu bapa yang hadir

Thursday, July 12, 2012

Karnival Kemahiran Hidup 2012

Karnival Kemahiran Hidup 2012 telah dijalankan di Bengkel Kemahiran Hidup pada Rabu, 11 Julai 2012. Karnival kali ini dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tiga aktiviti telah dilaksanakan oleh pelajar-pelajar iaitu memasang lampu kalimantang, membuat litar elektronik dan menjawap teka silang kata kemahiran hidup.

Adalah diharapakan aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini dapat memberikan pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan oleh pelajar-pelajar di dalam kehidupan mereka.

Tuesday, July 10, 2012

Senamrobik 1 Murid 1 Sukan 2012

Program senamrobik 1Murid 1Sukan telah diadakan mulai jam 7.30 pagi di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3. Program dimulai dengan ucapan Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid, Pengetua SMK Senawang 3. Tuan pengetua berharap setiap pelajar telah memilih satu jenis sukan yang diceburi secara serius supaya pelajar dapat mengharumkan nama negara di persada sukan dunia. Beliau mengambil contoh pemain bola sepak Nazmi Faiz Mansor yang mengharumkan nama negara dengan menyertai kelab divisyen 1 Portugal, SC Beira Mar sehingga Jun 2015.


Senamrobik ini turut disertai oleh AJK PIBG SMK Senawang 3. Pengetua mengucapkan terima kasih kepada AJK PIBG yang dapat turut serta dalam program ini. Beliau mencadangkan dasar 1Murid 1Sukan dapat diperluaskan kepada 1Rakyat 1Sukan supaya seluruh rakyat Malaysia dapat mengamalkan satu jenis sukan yang dapat melahirkan rakyat Malaysia yang cergas dan cerdas. Hal ini dapat melahirkan generasi rakyat yang mempunyai fizikal yang sihat dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Warga SMK Senawang 3 mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pun Norliyah binti Abdullah dari Pejabat KEMAS Kuala Pilah yang telah mengendalikan dengan jayanya sesi senamrobik.
Gambar-gambar aktivti sepanjang program ini boleh dilihat di facebook SMK Senawang 3. Sila klik ikon facebook di sidebar atau klik di sini.

Monday, May 28, 2012

Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah 2012

Sambutan Hari Guru peringkat sekolah telah diadakan pada Jumaat 25 Mei 2012 bertempat di Dewan Seri Delima, SMK Senawang. Berbagai acara telah diadakan pada sambutan kali ini termasuk acara sukaneka bersama pelajar.

Sambutan Hari Guru telah dimulakan dengan program menanam bunga pada 23 Mei 2012 di dataran perhimpunan. Pokok-pokok bunga itu kemudiannya ditempatkan di perkarangan pejabat.

Gambar-gambar sekitar sambutan hari guru boleh dilihat di menu Galeri Foto.

Wednesday, May 23, 2012

Karnival Matematik 2012

Karnival Matematik SMK Senawang 3 bagi tahun 2012 telah dijalankan di Dewan Seri Delima, SMK Senawang dengan jayanya pada hari ini. Karnival kali ini menyediakan tujuh stesen aktiviti pembelajaran matematik yang begitu menyeronokkan dan melibatkan semua pelajar SMK Senawang 3.
Tujuh stesen aktiviti disediakan
Stesen 5 - Ping Pong Math Terms
Karnival Matematik kali ini lebih baik daripada karnival tahun lepas kerana lebih banyak aktiviti yang dapat diadakan. Terima kasih kepada Encik Pok Sim Nam, Ketiua Bidang Sains dan Matematik merangkap Ketua Panitia Matematik yang begitu kreatif menyediakan aktiviti seperti ini.

Terdapat tujuh stesen permainan matematik iaitu:
  1. Math Basketball Games Online
  2. Ring Geometry
  3. Protractor and Angles
  4. Math Jeopardy Online
  5. Ping Pong Math Terms
  6. Chopstick Multiplication, dan
  7. Dice Coordinates
Pelajar-pelajar telah dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberi masa 20 minit untuk menjalankan aktiviti di setiap stesen sebelum berpindah ke stesen yang lain. Pemenang karnival adalah kumpulan yang paling banyak mengutip jumlah mata di setiap stesen.

Majlis penutup karnival telah disempurnakan oleh tuan pengetua. Dalam ucapannya tuan pengetua menerangkan tentang sejarah Matematik, makna perkataan matematik yang berasal dari perkataan Yunani "mathema" yang membawa maksud  "sains, ilmu atau pembelajaran" dan "mathematikos" yang membawa maksud "suka belajar". Melihat kepada keseronokan pelajar menjalankan aktiviti, diharapkan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 dapat memahami Matematik dengan lebih baik dan dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam Matematik. Beliau juga menceritakan tentang pengalamannya dengan juruwang di sebuah restoran  yang menggunakan kalkulator hanya untuk mengira berapa baki wang jika harga makanan RM19.20 dan wang RM 20.20 diberikan. 

Nota: Beberapa video aktiviti karnival ini boleh ditonton di You Tube dengan menaip kata kunci SMK Senawang 3 Karnival Matematik.


Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru 2012

Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua guru SMK Senawang 3. Sambutan perayaan Hari Guru peringkat sekolah akan diadakan pada Jumaat 25 Mei 2012 bertempat di Dewan Seri Delima, SMK Senawang. Terima kasih Cikgu!


Tema Hari Guru 2012 adalah "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Hayatilah lagu tema seperti di bawah:

Tuesday, May 15, 2012

Bengkel Teknik Menjawab PMR 2012

Program Teknik Menjawab PMR 2012 telah selamat dijalankan di luar SMK Senawang 3 iaitu bertempat di Pusat Kokurikulum Daerah Rembau (PKD Rembau) pada 11 hingga 13 Mei 2012. Objektif program pada kali ini adalah:
  1. Menanamkan sikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, sekolah, agama, bangsa, dan negara semasa menjalankan tugas sebagai pelajar di sekolah.
  2. Mendidik pelajar untuk belajar cara menjawab soalan PMR dengan betul dan tepat mengikut kehendak soalan.
  3. Memantu pelajar meningkatkan keyakinan diri mereka dalam menjawab soalan PMR 2012.
  4. Membantu pelajar merealisasikan impian mereka untuk menjadi pelajar cemerlang dalam PMR.

Gambar-gambar sepanjang kursus boleh dilihat di menu galeri gambar.

Thursday, May 10, 2012

Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-6

Kejohanan Merentas Desa Kali Ke-6 telah selamat dijalankan pada hari ini, Khamis 10 Mei 2012. Semua peserta kejohanan telah berkumpul di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3 mulai jam 7.30 pagi. Program telah dimulakan dengan mengadakan sesi senamrobik sebagai pemanas badan sebeleum peserta dilepaskan untuk membuat larian.

Tuan pengetua SMK Senawang 3 telah melepaskan peserta-peserta larian mulai jam 8.30 pagi. Semua peserta kelihatan begitu bersemangat untuk memberikan mata kepada rumah sukan masing-masing. Peserta lelaki pertama tiba ke garisan penamat 20 minit kemudian, manakala peserta perempuan pertama tiba ke garisan penamat 30 minit kemudian.


                

Wednesday, May 9, 2012

Karnival Bahasa Inggeris 2012

Hari ini sekolah mengadakan Karnival Bahasa Inggeris bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3. Tema Karnival Bahasa Inggeris kali ini adalah Towards Achieving Excellence In English Language. Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid, pengetua SMK Senawang 3 telah merasmikan karnival jam 9.45 pagi.

Towards Achieving Excellence In English Language
Dalam ucapan perasmian tersebut, tuan pengetua memaklumkan tentang Dasar MBMMBI dan matlamat karnival ini merupakan salah satu program yang mampu memperkukuh Bahasa Inggeris dalam kalangan warga SMK Senawang 3.
Cemerlang Sahsiah - Tekun mendengar taklimat
Antara pertandingan yang dijalankan pada karnival kali ini adalah:

  1. Pertandingan Pengucapan Awam (Public Speaking Competition)
  2. Pertandingan Nyanyian (Singing Contest)
  3. Pertandingan Tesaurus (Thesaurus Competition)
  4. Pertandingan Scrabble (Scrabble Competition)
  5. Pertandingan Teka Silang Kata (Crossword Puzzle Contest)
Diharap karnival kali nii dapat mencapai objektifnya iaitu menggalakkan pelajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan berkesan, meningkatkan tahap kelancaran menggunakan Bahasa Inggeris, dan menwujudkan persekitaran berbahasa Inggeris di sekolah.

Thursday, April 19, 2012

Sekitar Sayembara Puisi dan Lagu Daerah Seremban 2

Sayembara Puisi dan Lagu peringkat Daerah Seremban 2 telah berjaya dijalankan dengan jayanya hari ini di Dewan Seri Delima, SMK Senawang. Puan Noresah binti Shamsudin, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Seremban yang mewakili Tuan Pegawai pelajaran Daerah mengucapkan tahniah kepada warga SMK Senawang 3 yang bertindak sebagai pengelola sayembara kali ini.
Persembahan daripada SMK Senawang 3

Keputusan Sayembara adalah seperti berikut:
Johan Keseluruhan: SMK Senawang
Naib Johan: SMK KGV
Tempat Ketiga: SMK Puteri

Saturday, March 31, 2012

Mesyuarat Agung PIBG Ke-6 Tahun 2012

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-6 dan Majlis Anugerah Cemerlang telah selamat diadakan pada pagi tadi. Kehadiran ibu bapa dan penjaga adalah di tahap memuaskan. Majlis penutupan rasmi mesyuarat agung dan perasmian Majlis Anugerah Cemerlang telah disempurnakan oleh Encik Rohade bin Salim, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban Unit Pembangunan dan Bekalan mewakili Tuan Mohd Sah bin Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban.
Sebahagian ibu bapa yang hadir
Pemilihan AJK baru PIBG  kali ini menyaksikan hanya seorang AJK lama dikekalkan, iaitu Encik Ismadi bin Hashim, Naib Yang DiPertua PIBG Sesi 2011/2012 dipilih sebagai Yang DiPertua PIBG Sesi 2012/2013. Puan Sofea binti Sulaiman, Yang Dipertua PIBG Sesi 2011/2012 dan Puan Zuraidah binti Abdul Sani, AJK PIBG Sesi 2011/2012 telah tamat perkhidmatan kerana tiada anak yang bersekolah di SMK Senawang 3.

Encik Ismadi bin Hashim, Yang DiPertua PIBG Sesi 2011/2012 yang baru dilantik berharap semua AJK yang baru dilantik dapat membarikan kerjasama kepada beliau dan warga SMK Senawang 3 demi memajukan lagi sekolah kita. Demikian antara petikan ucapan penangguhan beliau. 

Dalam ucapannya, Encik Rohade bin Salam, memaklumkan bangunan baru SMK Senawang 3 telahpun 60% disiapkan dan berharap warga SMK Senawang 3 dapat berpindah ke sana pada tahun hadapan. Beliau turut memohon pihak pengurusan PIBG yang baru dilantik terus memberikan kerjasama kepada warga SMK Senawang 3 dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang menghasilkan kecemerlangan sahsiah, akademik dan kokurikulum pelajar.

Ucapan perasmian oleh Encik Rohade bin Salim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Seremban
Mesyuarat Agung PIBG Ke-6 dan Majlis Anugerah Cemerlang 2012 ini turut diselang-selikan dengan cabutan bertuah.

Nota: Gambar-gambar sepanjang mesyuarat dan majlis anugerah ini boleh dilihat di menu Galeri Foto atau klik di sini.

Friday, March 30, 2012

Tuah Jersi SMK Senawang 3

Regu sepak takraw bawah 15 tahun Daerah Seremban 2 yang diwakili oleh pelajar SMK Senawang 3, Mohd Nazri bin Abd Razak selaku tekong telah berjaya menjadi Johan Regu peringkat Negeri Sembilan di Kejohanan Sepak Takraw MSSM Negeri Sembilan yang berlangsung di Centre Court, Stadium Paroi. Pertandingan akhir dalam kategori sekolah rendah, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun telah berlangsung serentak pada hari Khamis 29 Mac 2012. Pasukan daerah Seremban 2 juga turut menjadi Johan Berpasukan kategori Bawah 15 tahun. Kesemua pemain Daerah Seremban 2 telah memakai jersi SMK Senawang 3 yang menjadi pengerusi pengelola kejohanan sepak takraw bagi daerah Seremban 2.


Regu Mohd Nazri bin Abd Razak yang bertindak sebagai tekong telah berjaya menewaskan regu Daerah Rembau dengan straight set 2 - 0. Regu Daerah Seremban 2 ini bertindak cemerlang dengan mendahului regu Daerah Rembau dalam kedua-dua perlawanan tanpa memberi peluang mereka menyamai kedudukan. Ketangkasan dan permainan cemerlang yang ditunjukkan akhirnya telah menobatkan regu Daerah Seremban 2 sebagai Johan Sepak Takraw Bawah 15 Tahun peringkat Negeri Sembilan. 

Tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar kita yang telah berjaya menaikkan nama SMK Senawang 3  di persada sukan sepak takraw di Negeri Sembilan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita boleh menjadi pencipta sejarah jika kita ada kemahuan dan ketinggian semangat.


Keputusan Penuh: Pasukan daerah Seremban 2 telah memenangi
  1. Johan Regu Bawah 15 Tahun
  2. Johan Berpasukan Bawah 15 Tahun
  3. Naib Johan Regu Bawah 18 Tahun
  4. Johan Regu Bawah 12 Tahun
  5. Johan Berpasukan Bawah 12 Tahun
Piala Pusingan Johan Sepak Takrawa Bawah 15 Tahun disimpan di SMK Senawang 3

    Thursday, March 1, 2012

    Kita Juara 2012

    Tahniah kepada pasukan sepak takraw SMK Senawang 3 yang telah berjaya menjuarai pertandingan sepak takraw Daerah Seremban 2 dalam Kejohanan Sepak Takraw Bawah 15 tahun yang telah berlangsung di Centre Court, Stadium Paroi pada Rabu, 29 Februari 2012. 

    Regu takraw SMK Senawang 3 yang dibarisi oleh Mohd Nazri Abd Razak, Syed Fauzan Husni Syed Zairun, Mohd Nuralif Norazman telah menewaskan regu  SM Agama Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan dengan mata 2 - 0 di peringkat akhir. Sebelum itu regu sepak takraw sekolah telah berjaya menewaskan regu SM Agama Persekutuan Labu dengan skor 2 - 1 dalam pertarungan tiga set yang sengit di peringkat separuh akhir.

    Regu SM Agama Persekutuan Labu dibarisi oleh dua orang pemain daripada Thailand seolah-olah pertarungan merupakan perlawanan di antara pasukan Malaysia melawan pasukan Thailand. Namun berkat kegigihan dan ketahanan mental, regu sekolah kita akhirnya dapat melepasi halangan dan menewaskan regu SM Agama Persekutuan Labu dengan penuh bergaya.
    Perterungan sengit di separuh akhir
    Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan sepak takraw SMK Senawang 3 daripada seluruh warga SMK Senawang 3 di atas kemenangan yang penuh bermakna ini.. Kedua-dua regu SMK Senawang 3 terdiri daripada Mohd Nazri Abd Razak, Syed Fauzan Husni Syed Zairun, Mohd Nuralif Norazman, Mohd Ikmal Hamzah, Mohd Ikmal Hamizie Mohd Hisham, Mohd Nor Hakim Daud, Mohd Azeem Azmi dan Mohd Nasrun Zulfarmi.
    Juara Kita. We Are The Champion.
    Video perlawanan peringkat separuh akhir menentang SMAP Labu boleh ditonton di You Tube.


    Nota: Gambar-gambar sepanjang kejohanan ini boleh dilihat di Galeri Foto.

    Wednesday, February 22, 2012

    Kembara Bahasa Tahun 2012

    Program Kembara Bahasa yang dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu di bawah pimpinan Tuan Haji Amran telah selamat dilancarkan pada pagi tadi di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3. Tuan pengetua telah merasmikan pelancaran kembara bahasa.

    Dalam ucapannya, pengetua menjelaskan tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai suatu bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang keempat terbanyak dituturkan oleh penduduk dunia selepas Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Hindi/Urdu. Penutur Bahasa Melayu dianggarkan seramai lebih daripada 350 juta orang. Di Indonesia sahaja, 280 juta penduduknya menuturkan Bahasa Melayu yang dinamakan Bahasa Indonesia. Selebihnya Bahasa Melayu ditutrkan di Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Sri Lanka, Vietnam dan Afrika Selatan.

    Pengetua turut menyentuh tentang pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang kembali menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sambil memperkasakan Bahasa Inggeris.

    Pada kembara bahasa kali ini, pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan kemudian melakukan aktiviti-aktiviti yang disediakan di lima buah stesen aktiviti. Di stesen pertama yang bertempat di bengkel kemahiran hidup, diadakan pertandingan nyanyian lagu "Bahasa Jiwa Bangsa".

    Di stesen kedua diadakan aktiviti menterjemah bahan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Stesen kedua juga terletak di bengkel kemahiran hidup. Di stesen ketiga pula, diadakan pertandingan menulis Jawi yang bertempat di pusat sumber sekolah.

    Sementara itu akiviti nyanyian puisi tradisional diadakan di bilik guru, yang merupakan stesen keempat. Di stesen terakhir, iaitu stesen kelima, diadakan pertandingan tulisan cantik.

    Nota: Gambar-gambar sepanjang kembara ini boleh dilihat di Galeri Foto dan Facebook sekolah.

    Saturday, February 18, 2012

    Sambutan Maulidur Rasul Meriah

    Majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah / 2012 peringkat sekolah telah berjaya dilaksanakan pagi tadi dalam suasana yang sangat meriah. Para pelajar dan guru telah  berkumpul seawal jam 7.30 pagi di Dataran Perhimpunan. Tema sambutan Maulidur Rsul 1433 Hijrah adalah "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".

    Ustazah Nur Saharah telah memberi taklimat mengenai perarakan dan para pelajar dan guru kemudian membaca salawat sebelum mula berarak. Tepat jam 8.05 pagi, perarakan telah dimulakan dengan diketuai oleh tuan pengetua, guru-guru lelaki, pelajar lelaki, pelajar perempuan dan guru lelaki serta kakitangan sokongan. 

    Selepas perarakan Maulidur Rasul selesai, para guru dan pelajar berkumpul pula di Surau SMK Senawang untuk menghadiri sesi ceramah / tazkiran yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Shahrizal bin Mohamad Ali, Imam Masjid Jamek, Seremban. Majlis tazkirah turut dihadiri oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Othman bin Md Diah.

    Di antara kandungan tazkirah Al-Fadhil Ustaz Shahrizal adalah sirah Rasul, taat pada ibu bapa dan guru, meningkatkan pemahaman terhadap agama, contohi Rasulullah SAW dan sahabat Rasulullah SAW, dan kepentingan pendekatan agama dalam pengajaran dan pembelajaran. Al-Fadhil Ustaz Shahrizal meminta para pelajar mengamalkan bersedekah di masjid dengan memulakan dengan menderma sepuluh sen pada setiap hari Jumaat. Beliau mengaitkannya dengan hadis riwayat Muslim, iaitu "Apabila mati seorang anak Adam, maka terputus amalannya kecuali tiga perkara iaitu (1) sedekah jariah, (2) ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain, dan (3) anal soleh yang mendoakan untuknya". 

    Amalan bersedekah tu juga dapat dikaitkan dengan hadis riwayat Bukhari dan Muslim iaitu Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh orang yang akan dilindungi Allah dalam naunganNya iaitu:
    1. Imam (pemimpin) yang adil, 
    2. Pemuda yang hidup dengan beribadah kepada Allah, 
    3. Orang yang hatinya selalu terikat pada masjid,
    4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah,
    5. Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan tetapi dia menolaknya dan berkata "Aku takut kepada Alah",
    6. Orang yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya, dan
    7. Seorang yang berzikir kepada Allah sendirian lalu menitikkan air matanya.
    Nota: Gambar-gambar sepanjang majlis boleh dilihat di menu Galeri Foto di atas. Video perarakan boleh ditonton di You Tube dengan membuat carian menggunakan kata kunci "SMK Senawang 3:.

    Wednesday, February 15, 2012

    Majlis Pelancaran Program Smart Multiplication

    Panitia Matematik SMK Senawang 3 telah melancarkan Program Smart Multiplication di Dewan Sri Delima, SMK Senawang pada hari ini, Rabu, 15 Februari 2012. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh tuan pengetua. Dalam ucapan ringkasnya, pengetua berharap para pelajar dapat meningkatkan kemahiran mengira sifir dengan mencari  hasil darab secara pantas. Ini disebabkan sifir merupakan asas kepada matematik dan ia sangat diperlukan dan digunakan hampir setiap masa di dalam kehidupan seharian kita. Pengetua mengucapkan tahniah kepada Panitia Sains dan Matematik yang dapat mengadakan program ini.

    Di antara aktiviti yang sempat dijalankan pada pagi ini adalah kuiz sifir dan permainan sifir secara berkumpulan. Pelajar dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut tingkatan. Program yang berjalan sepanjang minggu ini akan diteruskan dengan pelbagai aktiviti lagi.

    Sukaneka sifir boleh ditonton di YouTube dengan membuat carian menggunakan kata kunci SMK Senawang 3 ataupun Smart Multiplication. Walau bagaimanapun ianya lebih mudah dicapai dengan menaipkan kata kunci SMK Senawang 3. Untuk tatapan pembaca, di bawah ini disenaraikan pautan ke video tersebut:




    Tuesday, February 14, 2012

    Majlis Pelantikan Pengawas 2012

    Pada 13 Februari 2012 (Isnin), pihak sekolah telah mengadakan Majlis Pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah bertempat di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3. Watikah pelantikan telah disampaikan oleh tuan pengetua kepada 16 orang pengawas sekolah dan 12 orang pengawas PSS. 

    Kemudian, para pengawas telah membaca ikrar menjalankan tugas dengan jujur dan amanah di hadapan semua guru. Bacaan ikrar telah diketuai oleh Ketua Pengawas yang baru iaitu saudara Mohd Ikmal Hamizie.  Sementara itu, saudari Nurul Asyiqin telah dilantik sebagai Penolong Ketua Pengawas yang baru. Dalam ucapan ringkasnya, pengetua berharap semua pengawas sekolah yang dilantik dapat menjadi pembantu guru yang baik dalam melaksanakan tugas bersama-sama mendisiplinkan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 sesuai dengan hasrat menjadikan pelajar-pelajar SMK Senawang 3 cemerlang sahsiah.

    Beliau juga berharap pengawas PSS dapat membantu guru penyelaras PSS dan semua guru serta pelajar mewujudkan budaya rajin membaca dalam kalangan pelajar. Pengetua juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Pok Sim Nam, Ketua Bidang Sains dan Matematik kerana berjaya mendapatkan sumbangan buku daripada seorang dermawan yang merupakan buku-buku bacaan dalam Bahasa Inggeris. Jumlah sumbangan yang berupa buku-buku tersebut bernilai RM1000 (seribu ringgit).

    Para pengawas PSS telah menunjukkan buku-buku yang disumbangkan itu kepada semua pelajar semasa majlis tersebut. Adalah diharapkan para pelajar dapat meminjam buku-buku tersebut, membacanya dan seterusnya dapat membantu mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

    Seluruh warga SMK Senawang 3 mengucapkan jutaan terima kasih kepada dermawan tersebut. Terima kasih tuan!

    Nota: Gambar-gambar sekitar majlis pelantikan boleh dilihat di menu Galeri Foto.

    Kiriman: Haji Hamidon Haji Khalid

    Monday, February 13, 2012

    Mesyuarat Agung Kelab Staf 2012

    Mesyuarat Agung Kelab Staf bagi Sesi 2012 telah diadakan dengan jayanya di Bengkel Kemahiran Hidup bermula jam 12.00 tengahari. tadi. Pengetua telah dilantik sebagai pengerusi sementara bagi pelantikan ahl-ahli jawatankuasa yang baru bagi sesi 2012.

    Tahniah diucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa kelab staf yang baru yang telah dilantik secara rasmi sebagai ahli jawatankuasa  sesi 2012 yang terdiri daripada:
    1. Pengerusi: Puan Zalinah binti Ibrahim
    2. Setiausaha: Encik Mohd Faiz bin Mohd Nordin.
    3. Bendahari: Puan Zainab binti Ahmad Salikin
    4. AJK dalam kalangan staf sokongan: Encik Amran bin Mohd Tahir
    5. AJK dalam kalangan guru: Tuan Haji Mohd Amin bin Kalam
    6. AJK dalam kalangan guru:  Puan Roslina binti Ahmad

    Thursday, February 2, 2012

    Majlis Solat Taubat dan Solat Hajat Pertama 2012

    Program Solat Taubat dan Solat Hajat bagi tahun 2012 mula dijalankan pada hari ini, Khamis 2 Februari 2012 bersamaan dengan 9 Rabiulawal 1433 Hijrah bertempat di Surau SMK Senawang. Majlis dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Othman bin Md Diah diikuti oleh semua pelajar dan guru-guru SMK Senawang 3. Terima kasih Ustaz. Jazakallah! 

    Mendengar taklimat solat
    Pelajar puteri
    Sebelum majlis bermula, Ustaz Haji Othman telah menerangkan cara-cara mengerjakan solat Taubat dan solat Hajat sebagi ulangkaji kepada mereka yang telah biasa melakukannya dan sebagai satu ilmu baru kepada mereka yang baru pertama kali ingin melakukannya lebih-lebih lagi kita akan menyambut hari kelahiran Nabi Muhamad SAW pada Ahad 12 Rabiulawal 1433 Hijrah.



    Selepas majlis selesai, tuan pengetua telah memberi sedikit ucapan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru. Pengetua mengingatkan pelajar supaya menjadikan solah taubat dan solat hajat sebagai satu amalan harian atau mingguan kerana ianya adalah amalan para Nabi. Ia juga menjadi amalan pelajar-pelajar yang cemerlang akademik kerana setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan, pelajar-pelajar yang mendapat semua A dalam PMR dan SPM menyatakan rahsia kejayaan mereka adalah sering kali mengerjakan solat hajat dan solat taubat di samping membaca Al-Quran setiap hari.



    Justeru itu sewajarnyalah para pelajar Islam SMK Senawang 3 mengikuti contoh pelajar cemerlang PMR dan SPM ini dengan cuba melaksanakan amalan ini secara istiqomah atau berterusan. Jadikanlah satu tekad di dalam sanubari pelajar untuk mencontohi Rasulullah SAW apatah lagi kelahiran baginda akan disambut dalam 3 hari lagi.
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...