Tuesday, January 31, 2012

Sekitar Majlis Pertemuan Tiga Penjuru Pertama Tahun 2012

Majlis pertemuan tiga penjuru antara guru, ibu bapa atau penjaga dan pelajar Tingkatan 3 telah berjaya dijalankan seperti yang dijadualkan pada hari Sabtu 21 Januari 2012 yang lalu. Warga SMK Senawang 3 begitu berbangga dan terharu di atas komitmen dan kesungguhan ibu bapa dan penjaga serta pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang dapat hadir untuk menjayakan program ini. Ini kerana sekolah akan bercuti seminggu sempena Tahun Baru Cina 2012 yang jatuh pada hari Isnin, 23 Januari 2012 dan Selasa 24 Januari 2012. 

Majlis telah dimulakan dengan taklimat ringkas pengetua tentang aspirasi dan matlamat sekolah untuk mencapai target PMR 2012 iaitu mencapai gred purata sekolah 2.50 bagi PMR 2012. Adalah diharapkan kesungguhan dan disiplin diri pelajar-pelajar batch ke-4 PMR ini serta keprihatinan ibu bapa dan penjaga akan dapat merealisasikan impian ini. 

Majlis kemudian diteruskan dengan  slot ceramah keibubapaan dan perkongsian ilmu oleh Tuan Abd Halim bin Md Yunus, pengetua SMK Mambau yang berjaya melonjakkan kecemerlangan PMR SMK Mambau daripada 1 orang calon mendapat 8A pada PMR 2010 kepada 16 calon mendapat 8A pada PMR 2011. Terima kasih tuan! Semoga strategi peningkatan PMR yang tuan kongsikan bersama kami dapat melonjakkan lagi kecemerlangan PMR kedua-dua buah sekolah dan seterusnya membantu Negeri Sembilan melonjakkan prestasi akademiknya.

Seterusnya, Puan Hajah Norashikin, Penolong Kanan Pentadbiran pula telah membentangkan program-program peningkatan akademik yang akan dijalankan sepanjang tahun 2012. Makluman ini diharapkan dapat membantu ibu bapa dan penjaga merancang aktiviti kekeluargaan supaya tidak bertembung dengan program-program kecemerlangan PMR sekolah supaya hasil yang optimum dapat ditunjukkan.

Gambar-gambar sekitar majlis pertemuan tiga penjuru ini boleh dilihat di Galeri Foto.

Thursday, January 19, 2012

Program Mentor-Mentee 2012

Program mentor-mentee untuk pelajar Tingkatan 3 tahun 2012 telah melabuhkan tirainya pada hari in. Pada sesi pertama ini, kumpulan mentee dipertemukan dengan mentor masing-masing dan bertukar-tukar maklumat yang dapat membantu mentee dalam menghadapi pembelajaran secara berkesan di bilik kelas dan di luar bilik kelas.

Berita lanjut menyusul kemudian.

Sunday, January 1, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Selamat Tahun Baru 2012 diucapkan kepada semua warga SMK Senawang 3. Juga diucapkan Selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar-pelajar Tingkatan 1 dan 2 tahun 2011 yang akan meneruskan pembelajaran di Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pada tahun 2012. Tidak lupa juga diucapkan selamat datang ke SMK Senawang 3 kepada pelajar-pelajar baru Tingkatan 1 yang akan memulakan sesi persekolahan sebagai pelajar sekolah menengah serta akan menghadiri program orientasi pelajar Tingkatan 1 bermula pada hari Rabu 4 Januari 2012.

Kepada 84 orang pelajar Tingkatan 3 tahun 2012 yang mengambil peperiksaan PMR pada awal Oktober 2012, masa persekolahan nanti hendaklah diisi dengan mentelaah pelajaran terutamanya pelajaran-pelajaran yang diperolehi semasa di Tingkatan 1 tahun 2010 dan Tingkatan 2 tahun 2011. Masa persekolahan hendaklah dihabiskan dengan memberikan sepenuh tumpuan fikiran dan usaha untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang dikesan dalam pembelajaran pada tahun-tahun lepas.

Pelajar-pelajar hendaklah bersedia membuat ulangkaji yang berterusan dan menubuhkan kumpulan-kumpulan belajar sendiri. Rahsia kejayaan pelajar-pelajar yang mendapat 8A dalam PMR adalah belajar secara berkumpulan dan saling bantu-membantu rakan yang lemah dalam topik-topik tertentu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...