Saturday, March 31, 2012

Mesyuarat Agung PIBG Ke-6 Tahun 2012

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-6 dan Majlis Anugerah Cemerlang telah selamat diadakan pada pagi tadi. Kehadiran ibu bapa dan penjaga adalah di tahap memuaskan. Majlis penutupan rasmi mesyuarat agung dan perasmian Majlis Anugerah Cemerlang telah disempurnakan oleh Encik Rohade bin Salim, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban Unit Pembangunan dan Bekalan mewakili Tuan Mohd Sah bin Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban.
Sebahagian ibu bapa yang hadir
Pemilihan AJK baru PIBG  kali ini menyaksikan hanya seorang AJK lama dikekalkan, iaitu Encik Ismadi bin Hashim, Naib Yang DiPertua PIBG Sesi 2011/2012 dipilih sebagai Yang DiPertua PIBG Sesi 2012/2013. Puan Sofea binti Sulaiman, Yang Dipertua PIBG Sesi 2011/2012 dan Puan Zuraidah binti Abdul Sani, AJK PIBG Sesi 2011/2012 telah tamat perkhidmatan kerana tiada anak yang bersekolah di SMK Senawang 3.

Encik Ismadi bin Hashim, Yang DiPertua PIBG Sesi 2011/2012 yang baru dilantik berharap semua AJK yang baru dilantik dapat membarikan kerjasama kepada beliau dan warga SMK Senawang 3 demi memajukan lagi sekolah kita. Demikian antara petikan ucapan penangguhan beliau. 

Dalam ucapannya, Encik Rohade bin Salam, memaklumkan bangunan baru SMK Senawang 3 telahpun 60% disiapkan dan berharap warga SMK Senawang 3 dapat berpindah ke sana pada tahun hadapan. Beliau turut memohon pihak pengurusan PIBG yang baru dilantik terus memberikan kerjasama kepada warga SMK Senawang 3 dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang menghasilkan kecemerlangan sahsiah, akademik dan kokurikulum pelajar.

Ucapan perasmian oleh Encik Rohade bin Salim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Seremban
Mesyuarat Agung PIBG Ke-6 dan Majlis Anugerah Cemerlang 2012 ini turut diselang-selikan dengan cabutan bertuah.

Nota: Gambar-gambar sepanjang mesyuarat dan majlis anugerah ini boleh dilihat di menu Galeri Foto atau klik di sini.

Friday, March 30, 2012

Tuah Jersi SMK Senawang 3

Regu sepak takraw bawah 15 tahun Daerah Seremban 2 yang diwakili oleh pelajar SMK Senawang 3, Mohd Nazri bin Abd Razak selaku tekong telah berjaya menjadi Johan Regu peringkat Negeri Sembilan di Kejohanan Sepak Takraw MSSM Negeri Sembilan yang berlangsung di Centre Court, Stadium Paroi. Pertandingan akhir dalam kategori sekolah rendah, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun telah berlangsung serentak pada hari Khamis 29 Mac 2012. Pasukan daerah Seremban 2 juga turut menjadi Johan Berpasukan kategori Bawah 15 tahun. Kesemua pemain Daerah Seremban 2 telah memakai jersi SMK Senawang 3 yang menjadi pengerusi pengelola kejohanan sepak takraw bagi daerah Seremban 2.


Regu Mohd Nazri bin Abd Razak yang bertindak sebagai tekong telah berjaya menewaskan regu Daerah Rembau dengan straight set 2 - 0. Regu Daerah Seremban 2 ini bertindak cemerlang dengan mendahului regu Daerah Rembau dalam kedua-dua perlawanan tanpa memberi peluang mereka menyamai kedudukan. Ketangkasan dan permainan cemerlang yang ditunjukkan akhirnya telah menobatkan regu Daerah Seremban 2 sebagai Johan Sepak Takraw Bawah 15 Tahun peringkat Negeri Sembilan. 

Tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar kita yang telah berjaya menaikkan nama SMK Senawang 3  di persada sukan sepak takraw di Negeri Sembilan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita boleh menjadi pencipta sejarah jika kita ada kemahuan dan ketinggian semangat.


Keputusan Penuh: Pasukan daerah Seremban 2 telah memenangi
  1. Johan Regu Bawah 15 Tahun
  2. Johan Berpasukan Bawah 15 Tahun
  3. Naib Johan Regu Bawah 18 Tahun
  4. Johan Regu Bawah 12 Tahun
  5. Johan Berpasukan Bawah 12 Tahun
Piala Pusingan Johan Sepak Takrawa Bawah 15 Tahun disimpan di SMK Senawang 3

    Thursday, March 1, 2012

    Kita Juara 2012

    Tahniah kepada pasukan sepak takraw SMK Senawang 3 yang telah berjaya menjuarai pertandingan sepak takraw Daerah Seremban 2 dalam Kejohanan Sepak Takraw Bawah 15 tahun yang telah berlangsung di Centre Court, Stadium Paroi pada Rabu, 29 Februari 2012. 

    Regu takraw SMK Senawang 3 yang dibarisi oleh Mohd Nazri Abd Razak, Syed Fauzan Husni Syed Zairun, Mohd Nuralif Norazman telah menewaskan regu  SM Agama Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan dengan mata 2 - 0 di peringkat akhir. Sebelum itu regu sepak takraw sekolah telah berjaya menewaskan regu SM Agama Persekutuan Labu dengan skor 2 - 1 dalam pertarungan tiga set yang sengit di peringkat separuh akhir.

    Regu SM Agama Persekutuan Labu dibarisi oleh dua orang pemain daripada Thailand seolah-olah pertarungan merupakan perlawanan di antara pasukan Malaysia melawan pasukan Thailand. Namun berkat kegigihan dan ketahanan mental, regu sekolah kita akhirnya dapat melepasi halangan dan menewaskan regu SM Agama Persekutuan Labu dengan penuh bergaya.
    Perterungan sengit di separuh akhir
    Tahniah dan syabas diucapkan kepada pasukan sepak takraw SMK Senawang 3 daripada seluruh warga SMK Senawang 3 di atas kemenangan yang penuh bermakna ini.. Kedua-dua regu SMK Senawang 3 terdiri daripada Mohd Nazri Abd Razak, Syed Fauzan Husni Syed Zairun, Mohd Nuralif Norazman, Mohd Ikmal Hamzah, Mohd Ikmal Hamizie Mohd Hisham, Mohd Nor Hakim Daud, Mohd Azeem Azmi dan Mohd Nasrun Zulfarmi.
    Juara Kita. We Are The Champion.
    Video perlawanan peringkat separuh akhir menentang SMAP Labu boleh ditonton di You Tube.


    Nota: Gambar-gambar sepanjang kejohanan ini boleh dilihat di Galeri Foto.
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...