Sunday, July 31, 2011

Selamat Datang Ramadan

Warga SMK Senawang 3 mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan, Selamat Berpuasa dan Berbuka. Di antara kelebihan bulan Ramadan adalah:

  1. Al-Quran pada surat Al Baqarah ayat 185 yang ertinya: "Bulan Ramadan bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu. Kerana itu barang siapa di antara kamu hadir di bulan itumaka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu."
  2. Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  3. Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  4. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi

Wednesday, July 27, 2011

Kembara Keajaiban Sains SMK Senawang 3 Tahun 2011

Panitia Sains SMK Senawang 3 telah berjaya mengadakan kembara keajaiban sains  di dataran bola tampar dan beberapa stesen yang ditetapkan. Tahniah diucapkan kepada Puan Nurmahizan binti Mohd Shafian, Ketua Panitia Sains dan semua guru serta pembantu makmal dan staf sokongan yang bertungkus-lumus membuat persediaan bagi menjayakan kembara ini. Kembara ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu (1) menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains, (2) menjadikan mata pelajaran sains lebih menarik, (3) meningkatkan motivasi pelajar terhadap pembelajaran sains, dan (4) meningkatkan penguasaan istilah serta perbendaharaan kata sains. 

Kembara keajaiban sains telah dimulakan dengan simbolik pelancarannya oleh tuan pengetua dengan demonstrasi Amazing Balloon iaitu meniup belon dan memasukkan sebatang lidi menerusi belon tanpa memecahkan belon. Ini kemudian diikuti oleh  pertandingan di antara kumpulan-kumpulan pelajar yang dibentuk bagi menjalankan aktiviti-aktiviti di lapan buah stesen. Pertandingan dimulakan dengan pelancaran roket di gelanggang bola tampar. Kreativiti yang ditunjukkan oleh beberapa kumpulan memperlihatkan roket dapat bertahan lama di udara dan lambat jatuh ke tanah. Kemudian setiap kumpulan bergerak dari satu stesen ke satu stesen untuk menjalankan aktiviti yang disdiakan di sana.

Di tujuh buah stesen yang lain diadakan aktiviti seperti berikut: Stesen 1 (di bengkel) diadakan pertandingan rotocopter, Stesen 2 (tingkat 1) diadakan pertandingan Mighty Egg, Stesen 3 (luar bengkel) diadakan pertandingan Measuring Tools, Stesen 4 (luar bengkel) diadakan pertandingan Amazing Balloon, Stesen 5 (di bengkel) diadakan pertandingan Tea Bag Rocket, Stesen 6 diadakan pertandingan mengira Area of Leaf dan Stesen 7 (di bengkel) diadakan pertandingan Science Apparatus. 

Stesen 2: Perbincangan kreatif kumpulan untuk mencipta Mighty Egg
Stesen 3 - Measuring Tools

Measuring the temperature of ice

Diharapkan semua pelajar SMK Senawang 3 dapat menghayati kepentingan sains di dalam kehidupan dan mengamalkan budaya celik sains sepanjang hayat. Semoga SMK Senawang 3 dapat melahirkan seorang lagi angkasaawan seperti Dr. Sheikh Muzaffar di masa hadapan. Yakin Boleh! Ingat D.U.I.T dan Do It.

Tuesday, July 26, 2011

Tahniah Cikgu Azlifah dan Cikgu Norazlina

Seluruh warga SMK Senawang 3 mengucapkan tahniah kepada Puan Azlifah binti Abu Bakar dan Puan Norazlina binti Ahmad kerana menjadi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2010. Surat penghargaan dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan telah disampaikan kepada kedua-dua guru oleh tuan pengetua di pejabat pengetua. Semoga cikgu-cikgu dapat meneruskan perkhidmatan yang cemerlang pada tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang bagi membantu cita-cita menjadikan SMK Senawang 3 sebuah sekolah yang cemerlang dan disegani di masa hadapan.
Tahniah Puan Azlifah!

Tahniah Puan Norazlina!
Semoga berjaya menjadi guru cemerlang
Sebagai makluman, selaras dengan kehendak Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2002 dalam kandungan para 9 (e) nama dan gambar penerima anugerah hendaklah dipamerkan di pejabat di lokasi yang strategik atau biasa dikunjungi oleh orang ramai. 

Wednesday, July 20, 2011

Kejohanan Balapan dan Padang Kali Ke-5

SMK Senawang 3 telah berjaya mengadakan Kejohanan  Balapan dan Padang kali ke-5 bertempat di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban pada Rabu 20 Julai 2011. Ini merupakan kali keempat berturut-turut kejohanan sebegini diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Hanya kejohanan balapan dan padang kali pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Senawang pada tahun 2007 ketika sekolah mula beroperasi.

Acara-acara yang dipertandingkan di stadium ini adalah acara balapan sahaja manakala acara-acara padang telah dijalankan di SMK Senawang. Acara-acara yang dipertandingkan di stadium Paroi adalah 1500 m lelaki dan perempuan kelas 2, 100 m lelaki dan perempuan kelas 2, 200m lelaki dan perempuan kelas 2, 400 m lelaki dan perempuan kelas 2, 800 m lelaki dan perempuan kelas 2, 4 x 100 m lelaki dan perempuan kelas 2, 4 x  100 m lelaki dan perempuan kelas 2 dan 4 x 400 m lelaki dan perempuan kelas 2.
Acara 4 x 400 m perempuan kelas 2
Di samping itu turut diadakan acara tarik tali antara kempat-empat rumah sukan iaitu Rumah Undang Johol (Merah), Rumah Undang Sungai Ujong (Kuning), Rumah Undang Rembau (Hijau) dan Rumah Undang Jelebu (Rumah Biru). Acara tarik tali antara rumah telah dimenangi oleh Rumah Merah.

Majlis penutup kejohanan telah disempurnakan oleh Puan Sofiah binti Sulaiman, Yang DiPertua PIBG SMK Senawang 3. Tetamu yang turut menghadiri majlis penutupan rasmi adalah Encik Roslan Penolong Kanan Petang dari SMK Senawang dan AJK PIBG SMK Senawang 3. Terima kasih puan dan tuan!

Nota: Gambar-gambar sepanjang aktiviti kejohanan boleh dilihat di Galeri Foto

Tulisan: Haji Hamidon Haji Khalid

Tuesday, July 19, 2011

Perkhemahan KRS Daerah Seremban 2

SMK Senawang 3 telah berjaya mengelolakan Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah  peringkat Daerah Seremban 2 pada 12 Julai 2011 hingga 14 Julai 2011 yang lalu. Perkhemahan kali ini dihadiri oleh 148 orang ahli KRS daripada 23 buah sekolah dalam daerah Seremban 2 yang mengambil bahagian dalam perkhemahan itu. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang tiga hari dua malam di Kem Rimba Ilmu (KemRi) Terusan, Juasseh, Kuala Pilah adalah orienteering, dan pertandingan antara kumpulan seperti kawad kaki, dan membuat gadget.

Peserta-peserta perkhemahan dari SMK Senawang 3 adalah Mohd Nur Hamidi bin Anuar, Mohd Hairul Akmal bin Sidek, Mohd Syafiq bin Daud, Muhammad Khairie bin Zainuddin, Muhammad Nashrul bin Irfan dan Mohd Shahidan bin Bhaarudin kesemuanya dari Tingkatan 3UKM. Majlis penutup telah dirasmikan oleh pengetua SMK Senawang 3, Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid pada Khamis 14 Julai 2011. Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli jawatankuasan pengelola, jawatankuasa teknik KRS Negeri Sembilan dan Daerah Seremban yang telah bertungkus-lumus menjayakan perkhemahan selama 3 hari 2 malam itu. Terima kasih juga diucapkan kepada SMK Puteri dan Sekolah Dato Abdul Razak kerana menyediakan kuarter master di samping mengambilbahagian di dalam perkhemahan kali ini. Terima kasih daun keladi, lain tahun bantu lagi.

Nota: Gambar-gambar sepanjang perkhemahan boleh dilihat di menu Galeri Foto.


Tulisan: Haji Hamidon Haji Khalid

Sunday, July 10, 2011

Pelancaran Program Bulan Kecergasan SMK Senawang 3 Meriah

Semalam, Sabtu 9 Julai 2011, SMK Senawang 3 telah berjaya melancarkan program Bulan Kecergasan Tahun 2011 serentak di semua sekolah seluruh Negeri Sembilan tepat jam 8.00 pagi. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh tuan pengetua dengan dihadiri oleh semua guru dan para pelajar SMK Senawang 3. Tahniah kepada semua guru dan pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang bulan kecergasan ini. 

Paling menarik sekali, selepas majlis pelancaran bulan kecergasan, semua guru dan pelajar telah melakukan senaman tai chi secara beramai-ramai. Senaman tai chi ini dipimpin oleh jurulatih-jurulatih dari Persatuan Tai Chi Huang Malaysia cawangan Negeri Sembilan. Dengan semangat 1Malaysia 1Kecergasan, semua peserta telah menunjukkan kesungguhan  yang tinggi untuk mempelajari teknik senaman tai chi yang ditunjukkan oleh jurulatih-jurulatih dari Persatuan Tai Chi Huang Malaysia tersebut.

Gambar-gambar aktiviti pada majlis pelancaran ini boleh dilihat di Galeri Foto.

Thursday, July 7, 2011

Kembara Bahasa SMK Senawang 3

Tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah mengambil bahagian di dalam program Kembara Bahasa yang dikendalikan oleh Panitia Bahasa Melayu SMK Senawang 3 pada 22 Jun 2011 yang lalu. Pagi tadi telah diadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang menyertai empat pertandingan yang diadakan pada kembara tersebut. 

Keempat-empat pertandingan itu adalah (1) Pertandingan Berbalas Pantun yang mana Kumpulan 9 muncul sebagai johannya; (2) Nyanyian Puisi Tradisional yang dimenangi oleh Kumpulan 6; (3) Pertandingan Menulis Jawi dimenangi oleh Kumpulan 11 dan (4) Pertandingan Lagu Bahasa Jiwa Bangsa dimenangi oleh Kumpulan 7. Johan keseluruhan dimenangi oleh Kumpulan 9 manakala Naib Johan dimenangi oleh Kumpulan 15.

Adalah diharapkan pertandingan-pertandingan ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar-pelajar SMK Senawang 3 dalam menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang keempat terbanyak ditutrkan di peringkat dunia.

Gambar-gambar penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan boleh dilihat di Galeri Foto.

Saturday, July 2, 2011

Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

Hari ini merupakan satu hari yang bersejarah bagi sekolah kita dan sekolah-sekolah di seluruh negara. Ini kerana sekolah kita telah bersama-sama mengambil bahagian dalam penciptaan buku rekod Malaysia (Malaysia Book of Record) iaitu larian terbesar yang disertai oleh murid-murid sekolah. Sungguhpun sekolah kita kecil, kita mempunyai cita-cita yang besar menyebabkan kita berjaya menjadi pencipta rekod untuk buku rekod Malaysia pada tarikh keramat 2 Julai 2011.

Tahniah kepada semua guru dan pelajar yang mengambil bahagian dalam larian sejauh 1.5 km tepat jam 7.45 pagi tadi. Acara yang bersejarah ini dimulakan dengan pendaftaran peserta bermula jam 7.00 pagi lagi diikuti dengan acara memanaskan badan oleh Puan Roslina binti Zakaria manakala pelancarannya disiarkan secara langsung dari TV3 bermula 20 minit kemudian. Pelepasan larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia telah dilakukan oleh tuan pengetua.

Selepas larian selesai, peserta-peserta berehat seketika sebelum mengikuti pertandingan-pertandingan permainan. Empat jenis sukan telah dilaksanakan iaitu permainan petanque, bola jaring, bola tampar dan  sepak takraw. Ini diikuti oleh majlis peramian penutup yang disempurnakan oleh Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid, pengetua SMK Senawang 3. Dalam ucapannya beliau menyatakan objektif diadakan larian dan menerangkan dasar 1Murid 1Sukan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau juga memaklumkan pelancaran larian peringkat kebangsaan dibuat di Dataran Perbandaran Taiping, Perak, pelancaran peringkat negeri di SMK Seri Pagi Seremban manakala pelancaran peringkat PPD Seremban di SM Teknik Tuanku Jaafar. Majlis selesai jam 12.30 tengahari dan pelajar-pelajar dibenarkan pulang.

Nota: Gambar-gambar sekitar larian 1Murid 1Sukan boleh dilihat di Galeri Foto.
Tulisan: Haji Hamidon Haji Khalid

Friday, July 1, 2011

Hari Temu Mesra Profesional

Hari ini 1 Julai 2011 adalah Hari Temu Mesra Profesional antara guru kelas atau guru mata pelajaran, ibu bapa dan pelajar telah diadakan mulai jam 3.30 petang. Majlis ini bertujuan untuk menyerahkan slip keputusan peperiksaan pelajar pada peperiksaan pertengahan tahun yang dijalankan pada 19 hingga 26 Mei yang lalu. Selain mengadakan perbincangan melibatkan tiga pihak ini, perjumpaan juga bertujuan untuk menerima pandangan dan cadangan ibu bapa dan penjaga pelajar tentang pendekatan yang sesuai agar prestasi pencapaian setiap pelajar dalam akademik dapat dipertingkatkan. Input ini boleh digabungjalinkan dengan program perancangan peningkatan prestasi pelajar yang telah dirancang oleh pihak sekolah. 

Taklimat oleh Tuan Pengetua Haji Hamidon
Majlis hari ini dimulakan dengan perjumpaan khas pengurusan sekolah dan guru-guru mata pelajaran dengan ibu bapa dan pelajar tingkatan 3. Dalam perjumpaan dengan ibu bapa pelajar tingkatan 3 iru, pengetua memaklumkan kepada ibu bapa program-program peningkatan akademik yang telah dan akan dilaksanakan, diikuti dengan sesi taklimat ringkas oleh Puan Hjh Norashikin binti Jantan, Penolong Kanan Pentadbiran, Tuan Haji Borhan bin Hashim, Penolong Kanan HEM memberi taklimat mengenai disiplin pelajar diikuti oleh penerangan oleh setiap orang guru yang mengajar kelas tingkatan 3. Majlis diteruskan dengan sesi dialog antara ibu-bapa dan pihak sekolah serta meminta ibu-bapa memberi cadangan kepada pihak sekolah.

Selepas sesi di atas berakhir, ibu bapa dan penjaga pelajar bagi semua tingkatan telah mendapatkan keputusan peperiksaan anak-anak masing-masing dari guru kelas dan respon guru tentang perilaku anak-anak di sekolah. Adalah menjadi harapan pihak sekolah agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan demi kemajuan akademik dan sahsiah pelajar-pelajar SMK Senawang 3.

Nota: Gambar-gambar sekitar Majlis Temu Mesra Profesional boleh dilihat di menu Galeri Foto di atas.

Tulisan: Haji Hamidon Haji Khalid
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...