Saturday, July 2, 2011

Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan 1 Malaysia

Hari ini merupakan satu hari yang bersejarah bagi sekolah kita dan sekolah-sekolah di seluruh negara. Ini kerana sekolah kita telah bersama-sama mengambil bahagian dalam penciptaan buku rekod Malaysia (Malaysia Book of Record) iaitu larian terbesar yang disertai oleh murid-murid sekolah. Sungguhpun sekolah kita kecil, kita mempunyai cita-cita yang besar menyebabkan kita berjaya menjadi pencipta rekod untuk buku rekod Malaysia pada tarikh keramat 2 Julai 2011.

Tahniah kepada semua guru dan pelajar yang mengambil bahagian dalam larian sejauh 1.5 km tepat jam 7.45 pagi tadi. Acara yang bersejarah ini dimulakan dengan pendaftaran peserta bermula jam 7.00 pagi lagi diikuti dengan acara memanaskan badan oleh Puan Roslina binti Zakaria manakala pelancarannya disiarkan secara langsung dari TV3 bermula 20 minit kemudian. Pelepasan larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia telah dilakukan oleh tuan pengetua.

Selepas larian selesai, peserta-peserta berehat seketika sebelum mengikuti pertandingan-pertandingan permainan. Empat jenis sukan telah dilaksanakan iaitu permainan petanque, bola jaring, bola tampar dan  sepak takraw. Ini diikuti oleh majlis peramian penutup yang disempurnakan oleh Tuan Haji Hamidon bin Haji Khalid, pengetua SMK Senawang 3. Dalam ucapannya beliau menyatakan objektif diadakan larian dan menerangkan dasar 1Murid 1Sukan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau juga memaklumkan pelancaran larian peringkat kebangsaan dibuat di Dataran Perbandaran Taiping, Perak, pelancaran peringkat negeri di SMK Seri Pagi Seremban manakala pelancaran peringkat PPD Seremban di SM Teknik Tuanku Jaafar. Majlis selesai jam 12.30 tengahari dan pelajar-pelajar dibenarkan pulang.

Nota: Gambar-gambar sekitar larian 1Murid 1Sukan boleh dilihat di Galeri Foto.
Tulisan: Haji Hamidon Haji Khalid

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...