Saturday, March 23, 2013

Mesyuarat Agung PIBG Ke-7 dan Hari Anugerah Cemerlang 2012

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ketujuh telah berjaya diadakan pada Jumaat 22 Mac 2013 bertempat di Dewan Sri Delima, SMK Senawang mulai jam 3.00 petang. Hari  Anugerah Cemerlang Tahun 2012 yang bermula jam 5.00 petang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ahli Parlimen Rembau. Yang Berhormat turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM3000 disumbangkan kepada SMK Senawang 3 untuk program pembangunan pelajar dan aktiviti PIBG Sesi 2013.


Wednesday, March 13, 2013

Memahami PBS Sepintas Lalu

Isu tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah, PBS, sering diperkatakan baik dalam kalangan guru, murid mahupun ibu bapa dan penjaga pelajar. Bagi menjelaskan lagi maksud PBS, Lembaga Peperiksaan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil.2 Tahun 2011.
Menurut surat pekeliling itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan penambahbaikan terhadap Sistem Pentaksiran Kebangsaan bagi PMR iaitu melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah dengan wajaran 100% sepenuhnya pada tahun 2014 bagi murid-murid Tingkatan 3. Murid-murid Tingkatan 1 pada tahun 2012 akan mula melaksanakan PBS bagi PMR ini.

Komponen PBS dengan wajaran 100% dalam Sistem Pentaksiran Kebangsaan merangkumi 4 jenis pentaksiran iaitu:
  1. Pentaksiran Sekolah iaitu pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.
  2. Pentaksiran Pusat iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh tertentu mengikut mata pelajaran tertentu berasaskan standard prestasi. Penjaminan kualiti pentaksiran dijalankan melalui pemantauan dan penyelarasan.
  3. Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah oleh guru untuk mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam aktiviti jasmani, kesihatan, sukan dan kokurikulum.
  4. Pentaksiran Psikometrik iaitu pentaksiran yang dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) wajib dilaksanakan oleh semua pelajar Tingkatan 1 dan 2 untuk semua mata pelajaran. Berikut merupakan senarai mata pelajaran yang mempunyai komponen PBS di SMK Senawang 3.
  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris
  3. Sejarah
  4. Matematik
  5. Sains
  6. Geografi
  7. Pendidikan Islam
  8. Kemahiran Hidup Bersepadu
  9. Pendidikan Moral
  10. Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
  11. Pendidikan Seni Visual
  12. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
Pihak sekolah berharap ibu bapa dan penjaga dapat memntau dan memastikan anak-anak hadir ke sekolah dan melaksanakan pentaksiran ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...