Thursday, December 8, 2011

Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 Tahun 2012

Pendaftaran pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 telah dijalankan pada hari Sabtu 3 Disember 2011 yang lalu. Pendaftaran kali ini merupakan satu kelainan berbanding-banding tahun-tahun sebelumnya kerana diadakan lebih awal di bulan Disember dan diadakan pula secara serentak di seluruh negara selaras dengan arahan Kementerian Pelajaran Malaysia. Tujuannya adalah untuk menjelaskan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar tentang dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris ringkasnya MBMMBI. 

Pendaftaran bermula jam 8.30 pagi dimulai dengan taklimat daripada Pengetua, taklimat daripada Penolong Kanan HEM dan taklimat Penolong Kanan Kokurikulum. Selepas taklimat sesi dialog dengan ibubapa/penjaga turut dijalankan. Tuan pengetua dalam taklimatnya telah menerangkan tentang sejarah sekolah, infrastruktur sekolah, aktiviti-aktiviti akademik dan kejayaan sekolah. Dasar MBMMBI turut dijelaskan dengan panjang-lebar supaya ibubapa dan penjaga mengetahui dengan mendalam apakah yang dimaksudkan dengan dasar tersebut dan implikasinya ke atas proses pembelajaran anak-anak mereka di kelas.

Berdasarkan senarai nama pelajar tingkatan 1 tahun 2012 yang diterima daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah Seremban, SMK Senawang 3 telah membuka dua kelas tingkatan 1 bagi menempatkan 82 orang pelajar yang datangnya daripada 9 buah sekolah feeder iaitu  SK Taman Tasik Jaya (20 orang), SK Rahang (5 orang), SK Taman Tuanku Jaafar (2 orang), SK Taman Tuanku Jaafar 2 (1 orang), SK Senawang (36 orang), SK Taman Sri Mawar (11 orang), SK Paroi (2 orang), SK Taman Seri Pagi (2 orang) dan SJKT Ladang Senawang (1 orang). Inovasi yang dibuat pada tahun 2012 ialah menamakan kelas-kelas tersebut dengan dua nama universiti lain selain daripada UM, UKM dan USM yang sedia ada. Kedua-dua kelas tersebut dinamakan 1 UiTM dan 1 UIAM. Penamaan ini bertujuan mendedahkan kepada pelajar-pelajar bahawa di negara kita terdapat banyak universiti yang mana mereka berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi dan diharapkan setiap pelajar telah menetapkan universiti impian masing-masing. 

Tuesday, November 15, 2011

Jamuan Akhir Tahun Pengawas




Jamuan akhir tahun pengawas telah diadakan di Bengkel Kemahiran Hidup mulai jam 2.00 petang. Pihak sekolah ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua pengawas terutamanya pengawas-pengawas Tingkatan 3 yang bakal meninggalkan SMK Senawang 3 untuk meneruskan pembelajaran di Tingkatan 4 di sekolah lain.

Disiplin diri dan usaha yang bersungguh-sungguh yang ditunjukkan oleh semua pengawas untuk membantu guru-guru meningkatkan tahap disiplin pelajar SMK Senawang 3 amat dihargai dan dipuji. Warga sekolah mendoakan pengawas-pengawas Tingkatan 3 mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan PMR 2011 yang bakal diumumkan penghujung tahun ini.

Catatan: Gambar-gambar semasa jamuan ini boleh dilihat di Galeri Foto.

Friday, November 11, 2011

Hari Kantin dan Koperasi Meriah

Hari Kantin dan Koperasi SMK Senawang 3 telah dilaksanakan dengan jayanya di perkarangan letak kereta sekolah. Pada tahun ini, kesemua 6 buah kelas dan koperasi sekolah telah membina gerai masing-masing dan menjalankan jualan pelbagai makanan dan minuman. Pelancaran Hari Kantin dan Koperasi telah disempurnakan oleh tuan pengetua SMK Senawang 3 jam 3.00 petang.


Walaupun pada satu ketika hujan turun dengan lebat, kegigihan usahawan-usahawan muda kita telah berjaya menjual sehingga habis semua produk jualan mereka. Tahniah dan syabas kepada penyelaras, Tuan Haji Borhan, semua guru dan pelajar yang telah berusaha menjalankan aktiviti hari kantin dan koperasi dengan jayanya pada tahun 2011 ini. Semoga aktiviti ini dapat diperluaskan lagi pada tahun hadapan dengan menjalankannya secara bersama-sama dengan sekolah jiran kita, SMK Senawang.

Nota: Gambar-gambar sepanjang aktiviti ini boleh dilihat di Galeri Foto.

Wednesday, November 9, 2011

Remaja Tertinggi di Malaysia di SMK Senawang 3

Sheikh Akmal bersama Pengetua, En.Lam, Sheikh Imam dan En.S.Muthiah
Sheikh Akmal Sheikh Imam dari Tingkatan 3 UKM mungkin akan mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia sebagai remaja tertinggi di Malaysia berikutan ketinggiannya yang mencapai 197 cm. Hari ini seluruh warga sekolah berasa berbangga kerana dua orang pegawai dari Majlis Sukan Negara telah hadir ke sekolah untuk menawarkan tempat belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sekiranya Sheikh Akmal dapat lulus ujian yang akan diberikan kepada beliau pada bulan Disember nanti. Semua warga sekolah dan ahli keluarga Sheikh Akmal mendoakan supaya beliau dapat meningkatkan tahap kecergasan dan terpilih ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Ini merupakan satu peluang keemasan bagi Sheikh Akmal untuk berbakti kepada negara dengan mengambil bahagian dalam aktiviti sukan kerana Sekolah Sukan Bukit Jalil mempunyai jurulatih dan pakar sukan yang dapat membimbing dan melatih Sheikh Akmal menjadi atlit negara.

Petikan berita di New Straits Times
Menurut pegawai dari Majlis Sukan Negara tersebut, mereka terfikir untuk menawarkan tempat ke sekolah tersebut apabila terlihat berita mengenai ketinggian Sheikh Akmal di dada akhbar tempatan antaranya New Straits Times dan Harian Metro. Ketinggian Sheikh Akmal itu boleh dimanfaatkan dengan menyertai acara sukan yang memerlukan atlit yang tinggi misalnya lompat jauh atau bola keranjang  

Thursday, November 3, 2011

Semoga Mendapat Haji Yang Mabrur

Pada tahun ini, 1432 Hijrah, seorang warga SMK Senawang 3 iaitu Cikgu Mohd Amin bin Kalam telah terpilih menjalani ibadat haji di tanah suci. Beliau telah berlepas ke Mekah pada 27 Oktober 2011 yang lalu bersama isteri dan kakak beliau. Seluruh warga SMK Senawang 3 mendoakan beliau dan keluarga sentiasa berada di dalam kesihatan yang baik dan dapat menyempurnakan ibadah haji. Semoga cikgu mendapat haji yang mabrur. Amin.

Taklimat akhir di KLIA sebelum berlepas ke Mekah

Di Bukit Safa sebelum memulakan Saie
Raptai wukuf di Arafah

Monday, October 17, 2011

Wajah Bangunan Baru SMK Senawang 3

Tahun 2011 merupakan tahun kelima SMK Senawang 3 menumpang di bangunan SMK Senawang semenjak ditubuhkan pada 2007 yang lalu. Sehingga kini tiga batch pelajar PMR telah dihasilkan dengan peningkatan yang sangat baik dalam pencapaian peperiksaan PMR (diharapkan batch 3 tahun ini dapat mencipta rekod baru bagi SMK Senawang 3)  namun bangunan baru yang sepatutnya siap pada tahun 2010 masih belum kelihatan lagi. Kunjungan tidak rasmi ke Taman Forest Height pada 9 Julai yang lalu memberi sedikit pengharapan kepada warga SMK Senawang 3 kerana tapak sekolah yang terbiar kosong beberapa tahun lalu telah mula menampakkan wajah sebuah sekolah walaupun jauh dari sempurna.

Buat pertama kali laman ini memaparkan wajah bangunan baru SMK Senawang 3 dan akan memaparkan tahap-tahap pembangunan yang berlaku di tapak sekolah tersebut dari semasa ke semasa untuk tatapan warga dan alunni SMk Senawang 3 dan sebagai dokumen sejarah pembangunan sekolah. Insya Allah dengan doa daripada seluruh warga SMK Senawang 3 kita mengharapkan selewat-lewatnya pada tahun 2015 kita telah dapat merasai situasai berada di sekolah yang sebenarnya.

Gambar-gambar terkini pembangunan di tapak bangunan baru SMK Senawang 3 pada 16 Oktober 2011.
Pemandangan dari bawah
Gambar 2
Gambar 3
Gambar 4
Gambar 5
Gambar 6
Gambar 7
Gambar 8

Gambar-gambar di bawah menunjukkan pembangunan yang berlaku pada Julai 2011 yang lalu.

Gambar 1
Pembinaan secara konvensional
Pembinaan tapak bangunan
Gambar 4
Gambar 5
Gambar 6
Gambar 7
Rumah kongsi

Tuesday, October 4, 2011

Selamat Menghadapi Peperiksaan PMR 2011

Peperiksaan PMR 2011 membuka tirainya pada hari ini, 4 Oktober 2011 bersamaan dengan 6 Zulkaedah 1342 Hijrah. Seluruh warga SMK Senawang 3 mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan PMR dan mendoakan semoga batch PMR 2011 dapat menjawab soalan-soalan dalam keadaan yang tenang, selesa dan seterusnya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini. Pelajar-pelajar dinasihatkan untuk terus mengadakan soalat hajat dan bacaan Yaasin. Di samping itu kesihatan hendaklah dijaga dan mengurangkan pergerakan di luar rumah supaya dapat mengelakkan diri dari ditimpa kemalangan.

Kami Boleh! Kami Hebat!

Selamat Maju Jaya. Usahakan yang terbaik untuk SMK Senawang 3.

Friday, September 30, 2011

Majlis Restu Ilmu - PMR 2011

Majlis Restu Ilmu bagi calon-calon PMR 2011 telah diadakan pada Khamis 29 September 2011 bersamaan dengan 2 Zulkaedah 1432 Hijrah bertempat di kelas 3 UM. Majlis bermula jam 6.00 petang. Tuan pengetua telah memulakan majlis dengan menyampaikan ucapan kepada semua pelajar tingkatan 3 batch 2011. Antara intisari ucapan pengetua adalah meminta pelajar memohon restu dan doa daripada ibu bapa sebelum melangkah kaki ke dewan peperiksaan yang akan bermula pada Isnin 4 Oktober 2011 nanti.

Tuan pengetua membawakan kisah seorang pemuda Yaman yang ingin berjihad bersama Rasulullah SAW tetapi tidak memohon kebenaran atau restu daripada kedua ibu-bapanya di Yaman. Rasulullah SAW telah meminta pemuda tersebut kembali ke Yaman mendapatkan restu kedua ibubapanya dahulu dan berpesan selagi tidak mendapat restu ibu-bapa jangan datang untuk menyertai jihad bersama baginda. Kisah ini menunjukkan betapa pentingnya doa restu ibu-bapa mengatasi kepentingan berjihad di dalam Islam. Seluruh warga SMK Senawang 3 mendoakan agar pelajar-pelajar batch 2011 dapat mengatasi pencapaian pelajar PMR 2010 dan mencipta kejayaan 8A.


Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan ikrar pelajar diikuti dengan mohon restu dan penyerahan slip peperiksaan PMR kepada semua calon. Tiga perkara yang perlu dilafazkan oleh pelajar adalah: (1) Mohon maaf kepada guru-guru terhadap kesilapan-kesilapan diri, (2) Mohon dihalalkan ilmu yang telah diberikan oleh guru, dan (3) Mohon guru-guru mendoakan kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan PMR nanti. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama guru-guru yang mengajar kelas tingkatan 3 bersama guru kelas.

Nota: Gambar-gambar sepanjang majlis ini boleh dilihat di Galeri Foto

Tuesday, September 27, 2011

Taklimat Belajar di Sekolah Menengah Vokasional

Pada hari ini, 27 September 2011 bersamaan dengan 29 Syawal 1432 Hirah, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan suatu taklimat berkaitan dengan pembelajaran di sekolah menengah vokasional. Dua orang guru kaunselor dari SM Vokasional Ampangan telah sudi hadir ke SMK Senawang 3 untuk memberikan taklimat kepada semua pelajar-pelajar Tingkatan 3 bertempat di bengkel Kemahiran Hidup. Semoga  input yang diberikan oleh kedua-dua penceramah dapat memberikan pengetahuan yang meluas kepada pelajar tentang pembelajaran vokasional dan masa depan serta kerjaya dalam bidang vokasional.

Thursday, September 15, 2011

Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1432 Hijrah peringkat sekolah

Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1432 Hijrah telah diadakan di Bengkel Kemahiran Hidup SMK Senawang 3. Sambutan hari raya ini merupakan sambutan kali kedua diadakan di sekolah selepas kali pertama diadakan pada tahun 2010 yang lalu. Majlis bermula jam 3.00 petang dan dirasmikan oleh tuan pengetua SMK Senawang 3 diikuti dengan bacaan doa oleh saudara Ikhmal Hamizie Hisham dari tingkatan 2 UM. Selepas jamuan diadakan pula persembahan slaid Kad Ucapan Selamat Hari Raya oleh pelajar-pelajar kelas ICTL dan persembahan salid ucapan Selamat Hari Raya oleh pelajar. 

Selepas persembahan slaid, setiap kelas menunjukkan persembahan masing-masing. Majlis diakhiri dengan solah Asar berjamaah dan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan slaid. Pertandingan pakaian paling kreatif dimenangi oleh Siti Nuraisyah manakala cabutan bertuah guru dimenangi oleh Puan Zalinah Ibrahim.

Nota: Gambar-gambar ketika majlis berlangsung boleh dilihat di Galeri Foto.

Wednesday, September 14, 2011

Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Minggu Sejarah

Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Minggu Sejarah telah dilancarkan petang tadi dengan tema yang bertajuk 1Malaysia: "Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera." Objektif  program ini adalah untuk: (1) Memantap, memperkukuh dan mempamerkan jati diri serta citra bangsa Malaysia; (2) Meningkatkan rasa bangga terhadap lagu dan bendera kebangsaan; dan (3) Mengerat dan memperkukuhkan perapaduan antara kaum di negara kita.

Di antara aktivtiti-aktiviti yang akan dijalankan adalah:
  1. Kenali Tokoh
  2. Cintai Bendera Kita
  3. Kuiz Bertulis
  4. Nyanyian Lagu Patriotik, dan
  5. Permainan Tradisional - Sepak Raga (Lelaki) dan Congkak (Perempuan)

Majlis Khatam Al-Quran 2011


Majlis Khatam Al-Quran peringkat  SMK Senawang 3 telah berjaya dilaksanakan pada Khamis 28 Ogos 2011 yang lalu bertempat di Surau SMK Senawang. Majlis dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Othman bin Md Diah. Semoga para pelajar dapat meneruskan pembacaan Al-Quran setiap hari secara istiqamah dan dapat khatam Al-Quran sekurang-kurangnya dua kali dalam setiap tahun.

Setiap kali keputusan peperiksaan PMR diumumkan di dada-dada akhbar kita mendapati pelajar-pelajar yang berjaya mendapat semua A iaitu 8A atau 9A mengamalkan membaca Al-Quran setiap hari dan sering mengadakan solat hajat. Inilah satu amalan yang wajar diikuti oleh semua pelajar SMk Senawang  yang beragama Islam.

Gambar-gambar sepanjang aktiviti dipaparkan di bawah:

Gambar 1
Gambar 2
Gambar 3
Gambar 4
Gambar 5
Gambar 6
Gambar 7
Gambar 8
Gambar 9
Gambar 10
Gambar 11
Gambar 12

Friday, August 26, 2011

Sumbangan Aidil Fitri 2011

Tahniah diucapkan kepada Panitia Pendidikan Islam yang dipimpin oleh Ustazah Nur Saharah kerana telah berjaya mengadakan majlis pemberian sumbangan Hari Raya Aidil Fitri 2011 kepada pelajar-pelajar SMK Senawang 3 yang kurang berkemampuan pada Rabu 24 Ogos 2011 bersamaan dengan 24 Ramadhan 1432. Semoga dengan pemberian sumbangan yang tidak seberapa hasil daripada kutipan derma daripada warga SMK Senawang 3 sedikit sebanyak dapat membantu meringankan tanggungan keluarga pelajar yang berkaitan. Diharapkan juga pelajar-pelajar yang menerima sumbangan itu dapat sama-sama merasakan kemeriahan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tiba pada 30 atau 31 Ogos depan.
<


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...