Friday, September 30, 2011

Majlis Restu Ilmu - PMR 2011

Majlis Restu Ilmu bagi calon-calon PMR 2011 telah diadakan pada Khamis 29 September 2011 bersamaan dengan 2 Zulkaedah 1432 Hijrah bertempat di kelas 3 UM. Majlis bermula jam 6.00 petang. Tuan pengetua telah memulakan majlis dengan menyampaikan ucapan kepada semua pelajar tingkatan 3 batch 2011. Antara intisari ucapan pengetua adalah meminta pelajar memohon restu dan doa daripada ibu bapa sebelum melangkah kaki ke dewan peperiksaan yang akan bermula pada Isnin 4 Oktober 2011 nanti.

Tuan pengetua membawakan kisah seorang pemuda Yaman yang ingin berjihad bersama Rasulullah SAW tetapi tidak memohon kebenaran atau restu daripada kedua ibu-bapanya di Yaman. Rasulullah SAW telah meminta pemuda tersebut kembali ke Yaman mendapatkan restu kedua ibubapanya dahulu dan berpesan selagi tidak mendapat restu ibu-bapa jangan datang untuk menyertai jihad bersama baginda. Kisah ini menunjukkan betapa pentingnya doa restu ibu-bapa mengatasi kepentingan berjihad di dalam Islam. Seluruh warga SMK Senawang 3 mendoakan agar pelajar-pelajar batch 2011 dapat mengatasi pencapaian pelajar PMR 2010 dan mencipta kejayaan 8A.


Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan ikrar pelajar diikuti dengan mohon restu dan penyerahan slip peperiksaan PMR kepada semua calon. Tiga perkara yang perlu dilafazkan oleh pelajar adalah: (1) Mohon maaf kepada guru-guru terhadap kesilapan-kesilapan diri, (2) Mohon dihalalkan ilmu yang telah diberikan oleh guru, dan (3) Mohon guru-guru mendoakan kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan PMR nanti. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama guru-guru yang mengajar kelas tingkatan 3 bersama guru kelas.

Nota: Gambar-gambar sepanjang majlis ini boleh dilihat di Galeri Foto

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...