Friday, March 30, 2012

Tuah Jersi SMK Senawang 3

Regu sepak takraw bawah 15 tahun Daerah Seremban 2 yang diwakili oleh pelajar SMK Senawang 3, Mohd Nazri bin Abd Razak selaku tekong telah berjaya menjadi Johan Regu peringkat Negeri Sembilan di Kejohanan Sepak Takraw MSSM Negeri Sembilan yang berlangsung di Centre Court, Stadium Paroi. Pertandingan akhir dalam kategori sekolah rendah, bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun telah berlangsung serentak pada hari Khamis 29 Mac 2012. Pasukan daerah Seremban 2 juga turut menjadi Johan Berpasukan kategori Bawah 15 tahun. Kesemua pemain Daerah Seremban 2 telah memakai jersi SMK Senawang 3 yang menjadi pengerusi pengelola kejohanan sepak takraw bagi daerah Seremban 2.


Regu Mohd Nazri bin Abd Razak yang bertindak sebagai tekong telah berjaya menewaskan regu Daerah Rembau dengan straight set 2 - 0. Regu Daerah Seremban 2 ini bertindak cemerlang dengan mendahului regu Daerah Rembau dalam kedua-dua perlawanan tanpa memberi peluang mereka menyamai kedudukan. Ketangkasan dan permainan cemerlang yang ditunjukkan akhirnya telah menobatkan regu Daerah Seremban 2 sebagai Johan Sepak Takraw Bawah 15 Tahun peringkat Negeri Sembilan. 

Tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar kita yang telah berjaya menaikkan nama SMK Senawang 3  di persada sukan sepak takraw di Negeri Sembilan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita boleh menjadi pencipta sejarah jika kita ada kemahuan dan ketinggian semangat.


Keputusan Penuh: Pasukan daerah Seremban 2 telah memenangi
  1. Johan Regu Bawah 15 Tahun
  2. Johan Berpasukan Bawah 15 Tahun
  3. Naib Johan Regu Bawah 18 Tahun
  4. Johan Regu Bawah 12 Tahun
  5. Johan Berpasukan Bawah 12 Tahun
Piala Pusingan Johan Sepak Takrawa Bawah 15 Tahun disimpan di SMK Senawang 3

    No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...