Tuesday, January 31, 2012

Sekitar Majlis Pertemuan Tiga Penjuru Pertama Tahun 2012

Majlis pertemuan tiga penjuru antara guru, ibu bapa atau penjaga dan pelajar Tingkatan 3 telah berjaya dijalankan seperti yang dijadualkan pada hari Sabtu 21 Januari 2012 yang lalu. Warga SMK Senawang 3 begitu berbangga dan terharu di atas komitmen dan kesungguhan ibu bapa dan penjaga serta pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang dapat hadir untuk menjayakan program ini. Ini kerana sekolah akan bercuti seminggu sempena Tahun Baru Cina 2012 yang jatuh pada hari Isnin, 23 Januari 2012 dan Selasa 24 Januari 2012. 

Majlis telah dimulakan dengan taklimat ringkas pengetua tentang aspirasi dan matlamat sekolah untuk mencapai target PMR 2012 iaitu mencapai gred purata sekolah 2.50 bagi PMR 2012. Adalah diharapkan kesungguhan dan disiplin diri pelajar-pelajar batch ke-4 PMR ini serta keprihatinan ibu bapa dan penjaga akan dapat merealisasikan impian ini. 

Majlis kemudian diteruskan dengan  slot ceramah keibubapaan dan perkongsian ilmu oleh Tuan Abd Halim bin Md Yunus, pengetua SMK Mambau yang berjaya melonjakkan kecemerlangan PMR SMK Mambau daripada 1 orang calon mendapat 8A pada PMR 2010 kepada 16 calon mendapat 8A pada PMR 2011. Terima kasih tuan! Semoga strategi peningkatan PMR yang tuan kongsikan bersama kami dapat melonjakkan lagi kecemerlangan PMR kedua-dua buah sekolah dan seterusnya membantu Negeri Sembilan melonjakkan prestasi akademiknya.

Seterusnya, Puan Hajah Norashikin, Penolong Kanan Pentadbiran pula telah membentangkan program-program peningkatan akademik yang akan dijalankan sepanjang tahun 2012. Makluman ini diharapkan dapat membantu ibu bapa dan penjaga merancang aktiviti kekeluargaan supaya tidak bertembung dengan program-program kecemerlangan PMR sekolah supaya hasil yang optimum dapat ditunjukkan.

Gambar-gambar sekitar majlis pertemuan tiga penjuru ini boleh dilihat di Galeri Foto.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...