Wednesday, February 22, 2012

Kembara Bahasa Tahun 2012

Program Kembara Bahasa yang dianjurkan oleh Panitia Bahasa Melayu di bawah pimpinan Tuan Haji Amran telah selamat dilancarkan pada pagi tadi di Dataran Perhimpunan SMK Senawang 3. Tuan pengetua telah merasmikan pelancaran kembara bahasa.

Dalam ucapannya, pengetua menjelaskan tentang kepentingan Bahasa Melayu sebagai suatu bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang keempat terbanyak dituturkan oleh penduduk dunia selepas Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Hindi/Urdu. Penutur Bahasa Melayu dianggarkan seramai lebih daripada 350 juta orang. Di Indonesia sahaja, 280 juta penduduknya menuturkan Bahasa Melayu yang dinamakan Bahasa Indonesia. Selebihnya Bahasa Melayu ditutrkan di Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand, Filipina, Kemboja, Sri Lanka, Vietnam dan Afrika Selatan.

Pengetua turut menyentuh tentang pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang kembali menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sambil memperkasakan Bahasa Inggeris.

Pada kembara bahasa kali ini, pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil. Setiap kumpulan kemudian melakukan aktiviti-aktiviti yang disediakan di lima buah stesen aktiviti. Di stesen pertama yang bertempat di bengkel kemahiran hidup, diadakan pertandingan nyanyian lagu "Bahasa Jiwa Bangsa".

Di stesen kedua diadakan aktiviti menterjemah bahan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Stesen kedua juga terletak di bengkel kemahiran hidup. Di stesen ketiga pula, diadakan pertandingan menulis Jawi yang bertempat di pusat sumber sekolah.

Sementara itu akiviti nyanyian puisi tradisional diadakan di bilik guru, yang merupakan stesen keempat. Di stesen terakhir, iaitu stesen kelima, diadakan pertandingan tulisan cantik.

Nota: Gambar-gambar sepanjang kembara ini boleh dilihat di Galeri Foto dan Facebook sekolah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...