Sunday, June 26, 2011

Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang

Terdapat pelbagai tip untuk  menjadi pelajar cemerlang yang dikemukakan oleh ramai pakar motivasi belajar. Ada yang menyenaraikan 21 tip, ada yang menyenaraikan sehingga 102 tip. Tentulah agak sukar untuk seorang pelajar mengingati kesemua tip yang sebegitu banyak. Tambahan pula ada begitu banyak rumus atau formula yang perlu diingat di samping berbagai fakta lain dalam mata-mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan awam seperti PMR.

Sebagai ringkasan kepada semua tip itu, untuk menjadi pelajar yang cemerlang ialah dengan mengingati akronim DUIT. Ya..duit. Jika kita ingin menjadi orang yang kaya dengan duit, maka formulanya ialah duit juga. Apakah makna akronim itu?
D = Doa
U = Usaha
I  =  Istiqomah
T = Tawakal

Doa merupakan senjata orang mukmin atau senjata orang beriman. Maka bagi seorang pelajar yang beragama Islam, setiap perkara yang ingin dilakukan tentunya mesti ada niat dan diikuti dengan doa. Misalnya apabila kita terbangun dari tidur untuk bersolah Subuh dahulu sebelum bergerak ke sekolah, kita membaca doa dangun dari tidur dulu. Bagi pelajar yang bukan Islam, bolehlah berdoa mengikut agama masing-masing. Fadhilat berdoa ditunjukkan dalam hadis di bawah:

. 

 Artinya: "Tidak ada sesuatu yang paling mulia dalam pandangan Allah, selain daripada "berdoa" kepadaNya, sedangkan kita dalam keadaan lapang.(Hadis Riwayat Al-Hâkim).


U pula merujuk kepada usaha atau daya usaha atau ikhtiar. Slogan Usaha Tangga Kejayaan yang sering kali diucapkan dalam mana-mana majlis atau ceramah motivasi menandakan pentingya berusaha secara bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan dalam apa bidang sekalipun.

Dalam Islam, kita dapati banyak ayat Al Quran dan  hadis yang menyarankan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mencapai  kejayaan sama ada di dunia dan juga di akhirat. Usaha dan amalanlah yang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah S.W.T sebagaimana firmanNya dalam surah At Taubah ayat 105 yang bermaksud :
Dan katakanlah wahai Muhammad “Hendaklah kamu semua berusaha (beramal ) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.” 
Doa dan usaha itu hendaklah dilakukan secara berterusan iaitu secara istiqomah. Kerana itu setiap kali selepas sesuatu pengajaran, guru akan memberi latihan demi latihan. Tujuannya supaya fakta-fakta dan topik-topik yang diajar oleh guru itu dapat difahami dengan cepat dan kekal dalam ingatan pelajar. Ini tentunya akan dapat memudahkan pelajar menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan apabila telah berulang kali atau terbiasa menjawabnya.

Akhir sekali apabila pelajar telah berusaha dengan tekun dan menjawab soalan-soalan peperiksaan barulah bertawakal kepada Allah bersesuaian dengan ungkapan yang sering disebut iaitu kita hanya berusaha Allah yang menentukan. Bagaimana sekarang? Tentulah lebih mudah mengingati akronim D.U.I.T berbanding menghafal sebegitu banyak tip bukan?
Tulisan Haji Hamidon Haji Khalid.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...